Saturday, September 15, 2007

Suhakam akan siasat 'Tragedi Batu Buruk' - Sivasubramaniam


Wan Nordin Wan Yaacob
Thu Sep 13, 07 03:20:43 PM
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menyiasat secara terperinci tragedi yang berlaku semasa ceramah anjuran Bersih di Pantai Batu Buruk 8 September lalu, kata Pesuruhjayanya, Dato' N.Sivasubramaniam.
Sivasubramaniam ketika mengulas memorandum yang diserah Bersih hari ini berkata, pihaknya telah menyediakan pasukan yang terdiri dari lima pegawai khas untuk menyiasat aduan-aduan yang diajukan pelbagai pihak mengenai insiden itu.
Baginya berdasarkan aduan itu, Suhakam berhak menyiasat kerana adanya dakwaan pelanggaran hak asasi yang mungkin sekali berlaku, katanya kepada delegasi Bersih di Pejabatnya hari ini.
Turut hadir ialah, Naib Presiden KeADILan, Sivarasarasiah; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad; AJK PAS Pusat yang juga bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad; AJK PAs Pusat, Ustaz Idris Ahmad; ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok Suih Sim; Pegawai Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; wakil Suaram, Yap Swee Seng dan beberapa pimpinan NGO lain.
Suhakam pula diwakili oleh Sivasubramaniam dan Penasihat Undang-undang Suhakam, Norita Azmi.
Siasatan juga akan dijalankan dengan Suhakam sendiri akan ke lokasi kejadian dan akan bertemu dengan dua orang awam yang dikatakan cedera akibat terkena tembakan pihak berkuasa polis, katanya.
Selain itu Suhakam akan mengadakan pertemuan dan dialog dengan pihak polis selain merancang satu lagi dialog dengan Bersih selepas pertemuan dengan pihak polis itu, katanya.
Dialog itu dijangka akan diadakan pada jam 2.00 petang 20 September ini di Kuala Terengganu selepas lawatan ke lokasi, katanya.
Sivasubramaniam juga berkata, segala aduan yang diajukan oleh Bersih akan disampaikan kepada pihak polis untuk mendapatkan penjelasan.
Selain itu beliau juga berjanji akan mengemukakan laporan kejadian kepada pihak Pengerusi Suhakam untuk pertimbangan samada akan mengadakan siasatan awam (public inquiries) atau sebaliknya.
Dalam perkembangan lain, Sivasubaramian mengecam tindakan media-media utama yang dilihat tidak memberi liputan kepada pelbagai kenyataan dan program yang dianjurkan oleh Suhakam sendiri.
Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan sikap media yang menggelapkan laporan malah menyebabkan fungsi Suhakam itu tidak kelihatan dalam memperjuangkan Hak Asasi dan menyelesaikan pelbagai aduan rakyat. - mks.

No comments: