Friday, September 14, 2007

Peristiwa menembak di Batu Buruk - penjelasan Bersih


KUALA TERENGGANU, 12 Sept (Hrkh) - Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berpendirian bahawa polis telah melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air ke arah orang awam yang sedang berhimpun sedangkan ceramah pada malam itu telah pun di batalkan.
Demikian menurut satu kenyataan akhbar Bersih bagi memaklumkan dan menyatakan kejadian sebenar yang berlaku sehingga menjadi kemarahan rakyat kini dengan sikap parti pemerintah, BN dan Umno dengan menggunakan pihak berkuasa dalam menzalimi orang awam dan menyekat kebebasan hak asasi di sebuah negara demokrasi.
Menurut Bersih lagi, bagi menghormati keputusan polis, penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.
Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih.
Antara tuntutan Bersih adalah penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan menjamin media yang adil dan tidak berpihak, malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi kata kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pihak media semalam.
Dalam pada itu, Bersih dalam kenyataannya berhubung kejadian berdarah ini juga turut menuntut antara lainnya ialah Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka sehingga mengakibat insiden yang tidak diingini berlaku.
Malah Bersih menggesa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.
Berikut adalah kenyataan penuh Bersih berhubung kejadian yang berlaku:
1) Pada 8 September 2007, Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO merancang untuk mengadakan majlis perhimpunan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu.
2) Pihak penganjur telah membuat permohonan permit polis sebagaimana yang sewajarnya namun permit tidak dikeluarkan kepada pihak penganjur walaupun rayuan telah dibuat.
3) Pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah.
4) Polis kemudiannya membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari tempat majlis hendak diadakan agar orang ramai tidak masuk ke kawasan itu.
5) Pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH termasuk Dato’ Mustafa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu) telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu (wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) dan Haji Azmi Hamid (Teras).
6) Perbincangan dibuat antara mereka dan polis namun program itu tidak dibenarkan untuk diadakan.
7) Ekoran dari itu, ketegangan telah timbul antara polis dan orang ramai yang telah berhimpun kira-kira setengah kilometer dari tempat ceramah. Kemudiannya FRU mula menembak water canon dan gas pemedih mata ke arah orang awam secara membabibuta. Ia berterusan hingga jam 1.30 pagi.
8) Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman. Ia telah terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena pada lehernya. Sehingga kini, Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.
9) Berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat dari mereka parah.
10) 23 dari orang awam telah ditangkap termasuk tiga wartawan akhbar tempatan. Dua dari mereka telah ditahan reman.
11) Ekoran huru-hara ini, pelbagai kerosakan berlaku kepada harta awam. Ia hanya reda selepas polis meninggalkan kawasan ini kira-kira jam 1.30 pagi.
Kami dengan ini berpendirian:-
1) Peristiwa ini berlaku selepas polis melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air kearah orang awam yang sedang berhimpun..
2) Bagi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.
3) Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Antara tuntutan Bersih adalah penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan menjamin media yang adil dan tidak berpihak.
4) Malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi padahal polis sepatutnya menjalankan tugas untuk menurunkan kadar jenayah yang begitu tinggi sekarang ini dan menjadi masalah sebenar kepada rakyat sekarang.
5) Yang malang lagi, ada polis telah menggunakan peluru hidup dalam mengendalikan perhimpunan aman sebegini. Penggunaan peluru hidup dalam mengendalikan program sebegini adalah tidak berasas dan sangat dikesali.
6) Bagi kami polis telah gagal mengendalikan perhimpunan tersebut berdasarkan prosedur undang-undang polis sendiri. Antaranya tiada pengumuman dibuat meminta orang ramai bersurai.
Kami dengan ini menuntut:
1) Penjelasan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri serta Ketua Polis Negara terhadap penggunaan peluru hidup dalam mana-mana perhimpunan aman sebegini.
2) Segala perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana badan yang sah tidak memerlukan permit polis dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.
3) Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka.
4) Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.
Maka kami yang mewakili BERSIH sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kami terus komited memperjuangkan tuntutan untuk mendapatkan demokrasi dan pilihan raya yang adil secara aman di negara Malaysia yang tercinta ini. - mks

No comments: