Tuesday, January 8, 2008

Rayuan Ikat Jamin Suwandi, Azman ditunda kepada 14 Jan, 08 – Tujuh dilepaskan dengan jaminan polis

Ditulis oleh WanKay & AYu
Tuesday, 08 January 2008
Kuala Terengganu, 6 Januari - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menunda permohonan mangsa tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah Batu Burok 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz untuk mendapatkan jaminan kepada 14 Januari ini.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian setelah pihak pendakwa yang diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak pembela, peguam Mohamed Hanipa Maidin serta Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong mengemukakan hujah masing-masing.

Permohonan untuk mendapatkan jaminan itu dibuat setelah Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan Suwandi dan Azman ikat jamin.


Hassan juga mengekalkan keputusan itu pada perbicaraan 30 Disember lalu.

Abdul Gani semasa berhujah mengemukakan bantahan awal terhadap afidavit pemohon yang terdapat beberapa kesilapan yang baginya adalah afidavit cacat dan sangat lemah.

Antara perkara yang dibantah dalam afidavit tersebut berkait dengan tandatangan peguam, ikrar, masa, hubungan kekeluargaan dan penghujahan atau pendapat.

Mohamed Hanipa pula berhujah apa yang dihujahkan oleh Abdul Gani itu tiada apa-apa notis bertulis.

Beliau turut mempersoalkan apa yang dikatakan oleh Abdul Gani terhadap afidavit pemohon sebagai afidavit defektif tetapi dalam masa yang sama menjawab afidavit berkenaan.


Beliau juga berhujah beberapa kesilapan yang berlaku dalam afidavit pihak pendakwa.

Selain beliau dan Wan Abdul Muttalib, turut mewakili Suwandi dan Azman ialah Wan Zainuddin Wan Musa, Haji Othman Mohd Noor, Kamaruzaman Abdul Wahab, Aminuddin Zulkifli, Khairuddin Osman dan Fariz Irwan Mustafa.

Wan Muttalib pula mengakui tentang kesilapan kemanusiaan itu yang menggunakan komputer tetapi tiada ada sebab dari segi undang-undang untuk memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk mendapatkan keadilan.


Baginya, kesilapan boleh dibuat pembetulan dan memohon untuk memasukkan afidavit pembetulan kerana pihak Peguam Negara tiada apa-apa halangan untuk membuat pembetulan supaya apabila dibawa ke atas berada di atas landasan yang betul.


Abdul Gani tidak membantah terhadap permohonan itu kerana baginya kedua-dua pihak harus menegakkan dari segi keadilan dan diperbetulkan mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada pihak yang memenangi kes di mahkamah di atas kesilapan yang tertentu.

Turut mewakil pihak pendakwaan ialah Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Sementara itu, tujuh orang pemuda yang ditahan pada sebelah pagi diperkarangan mahkamah Kuala Terengganu telah dibebaskan pada lewat petang semalam. Salah seorang dari mereka, Ustaz Tarmizi Jaafar, ketika dihubungi oleh Buletinonline malam ini memberitahu bahawa, kesemua meraka dilepaskan dengan jaminan polis.

“ AlhamduliLlah kami semua dilepaskan pada waktu hampir maghrib, setelah diambil keterangan oleh Inspektor Amirudin” jelas Ustaz Tarmizi.

“Namun begitu, kami diberikan satu surat untuk kembali melapor kepada Balai polis pada 20 Januari, 2008”

Mereka tidak dikenakan apa-apa pertuduhan, namun begitu kebimbangan berulangnya peristiwa seperti Insiden Batu Buruk 8 September lalu, dimana pertuduhan dibuat kemudian, setelah mereka melaporkan diri di balai polis.

Solat Hajat Kali Kedua di depan Mahkamah

Ditulis oleh SM Noor
Sunday, 06 January 2008
Kuala Terengganu, 6 Jan – 10.20 pagi – Para penyokong Azman dan Suwandi yang berhimpun secara aman pada pagi ini telah menunaikan solat hajat kali kedua sejak minggu lalu.Tepat jam 10.00 pagi, setelah mendengar capan dari pemimpin pusat dan negeri, Ustaz Adam Said, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut telah mengimamkan solat hajat. Munajat kepada Allah SWT adalah jalan yang terakhir bagi para penyokong Azman dan Suwandi untuk mengadu tentang kezaliman, serta memohon supaya keadilan keadilan ditegakkan.

Hari ini adalah cubaan para peguam untuk membebaskan Azman dan Suwandi dari terus ditahan di penjara. Rayuan ikat jamin Azman dan Suwandi difailkan kemahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Orang ramai semakin membajiri hadapan mahkamah Kuala Terengganu selepas solat hajat dan hujan berhenti. Bantahan diteruskan lagi, sehingga keputusan ditetapkan oleh mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang dijangka tidak lewat dari jam 1.00 Tengahari.

Kepada semua penyokong dan pendokong keadilan, dimana jua berada, marilah kita semua bermunajat kepada Allah SWT. Sekiranya keadilan tidak tertegak lagi, biarlah Allah SWT menentukan arah cara perjuangan ini.
Sementara itu, 7 orang pemuda yang ditahan ketika mengedarkan rislah pada pagi tadi adalah seperti berikut:
1. Ustaz Tarmizi Jaafar
2. Aisamuddin Muhamed
3. Muhammad Ibnu Kasir Mohd Noor
4. Muhammad Zaki Said
5.Muhammad Hilmi Jusoh
6. Hamzah Mohammad

Mereka dipercayai berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Himpunan Aman sokong Azman dan Suwandi di teruskan – 7 ditahan edar risalah

Ditulis oleh SM Noor
Sunday, 06 January 2008
Kuala Terengganu, 6 Jan, 9.00 pagi – Bantahan terhadap ketidakadilan terhadap kes Azman dan Suwandi diteruskan, bahkan hari ini ia turut disertai oleh sekumpulan pemuda dari Jerantut Pahang. Sementara itu, sekitar jam 8.30 pagi, seramai 7 orang pemuda telah ditahan di hadapan kompleks mahkamah Kuala Terengganu ketika mengedarkan risalah ‘ Menyokong Himpunan Aman ‘ yang diadakan pada hari ini. Mereka dipercayai ditahan oleh sekumpulan polis berpakaian awam, dipercayai cawangan khas. Kesemua mereka yang ditahan adalah pemuda dari Kampong Gong Kapas, Kuala Terengganu.

Pada jam 8.45 pagi, sebuah trak polis yang sarat membawa penumpang mamakai baju berwarna 'jingga', dilihat membawa Azman dan Suwandi masuk ke perkarangan mahkamah melalui pintu utama. Isteri Suwandi, telah masuk keprkarangan mahkamah seawall jam 8.15 pagi, namun ayah Azman tidak dibenarkan masuk kerana terlewat sampai dimahkamah.

Pada sekitar jam 9.15 pagi, Himpunan Aman Rakyat membantah ketidakadilan terhadap kes Azman dan Suwandi dimulakan. Beberapa pimpinan PAS Negeri turut hadir termasuk Setiausaha Perhubungan PAS Ngeri, Tuan Haji Yahaya Ali dan Timbalan Pesuruhjaya, Dato’ Ustaz Haji Abu Bakar Chik.

Himpunan tersebut diteruskan wakaupun didalam hujan. Antara pemimpin yang berucap adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Syed Azman, Ketua Dewan Pemuda PAS Besut dan Ketua Dewan Pemuda PAS Marang

Menyokong Himpunan Esok (06/01/08)

Ditulis oleh Editor
Saturday, 05 January 2008
Kuala Terengganu, 4 Jan - Prihatin Rakyat Terengganu(Prihatin) mengeluarkan kenyataan dan sebaran mengapa rakyat perlu menyokong Himpunan Aman Menyokong 20 Rakyat Terengganu yang dizalimi.

Rakyat wajib menyokong mereka terutamanya mangsa tembakan polis, Suwandi dan Azman telah dipenjarakan serta 18 orang yang lain, kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan sebagai rakyat yang mempunyai hak-hak dibawah perlembagaan.


Prihatin menuntut supaya mahkamah berlaku adil tanpa campurtangan politik dan membebaskan Suwandi dan Azman kerana mereka belum di buktikan bersalah.

MENYOKONG PERHIMPUNAN AMAN DI PERKARANGAN KOMPLEKS MAHKAMAH

KUALA TERENGGANU

PRIHATIN RAKYAT TERENGGANU dengan ini menyokong Perhimpunan AMAN yang diadakan pada hari ini, 6 Januari 2008 sebagai perpaduan bersama-sama 20 orang rakyat Terengganu yang telah dizalimi, terutamanya kepada saudara Suwandi bin Abdul Ghani (38) dan Muhammad Azman bin Aziz (21);

1. Suwandi dan Azman telah ditembak oleh seorang anggota Polis berpakaian biasa, Wan Aziz Wan Omar (RF 143706) PADA 8 SEPTEMBER 2007 lalu. Tembakan itu menyebabkan mereka cedera parah dan hampir hilang nyawa. Bagaimanapun, Suwandi dan Azman telah dituduh cuba menyerang polis berkenaan. Sedangkan mereka berdua dalam keadaan tangan kosong semasa kejadian.

2. Walaupun Mahkamah masih belum memutuskan Saudara Suwandi dan Azman bersalah, namun Peguam Negara, Abdul Gani Patail bertegas tidak membenarkan mereka berdua diikat jamin. Kesannya, kini mereka berdua dipenjarakan sementara menunggu kes mereka dibicarakan yang tidak diketahui bila akan berakhir.

3. Asas penahanan mereka ialah Seksyen 27 (5) Akta Polis iaitu Perhimpunan Haram. Seksyen ini telah lapuk dan tidak relevan kerana menafikan hak berhimpun secara total dan bertentangan secara prinsipnya dengan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang ini bersifat menghalang perhimpunan aman rakyat. Sedangkan Pihak Polis sepatutnya cuma mengawal perhimpunan. Inilah yang ditegaskan oleh SUHAKAM di dalam Laporan Inkuiri Demonstrasi Anti Kenaikan Harga Barang di KLCC.

4. Memetik kenyataan Peguam Suwandi dan Azman, bahawa pemenjaraan ini adalah suatu pengalaman dan tekanan kepada mereka berdua kerana ditempatkan bersama penjenayah berat, pesakit AIDS dan HIV. Sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah. Ini akan menjadi satu precedent (kes-kes duluan yang diikuti oleh mahkamah) yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman Malaysia. Sekiranya Mahkamah Tinggi tidak membebaskan mereka ketika semakan kehakiman yang akan berlangsung pada hari ini (6 Januari 2008), maka penahanan tanpa bicara (tidak dibenarkan jamin) akan menjadi suatu perkara yang lazim di Malaysia.

5. Paling mengecewakan, Polis yang melepaskan 4 das tembakan berkenaan tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak polis dan peguam negara. Seolah-olah, tembakan dengan peluru hidup oleh polis terhadap dua orang awam berkenaan adalah betul.

6. Pada masa yang sama, 31 orang yang menganggotai perhimpunan HINDRAF telah digugurkan pertuduhan cuba membunuh polis dan dibenarkan ikat jamin walaupun pertuduhan yang dikenakan atas mereka lebih berat daripada tuduhan ke atas Azman dan Suwandi. Kenyataan peguan Negara dalam kes HINDRAF yang menyatakan beliau tidak pasti siapakah yang melemparkan batu kepada polis selepas pertuduhan dikenakan ke atas 31 orang yang terbabit adalah memalukan dan mendedahkan kepada umum bahawa pertuduhan boleh dikenakan dan digugurkan atas motif politik dan bukannya atas asas undang-undang. Kerana pertuduhan tidak boleh dikenakan melainkan pihak pendakwa pasti dan mempunyai bukti siapakah yang melakukannya.

7. Ini adalah suatu kezaliman, kerana menurut Islam bahkan menurut Undang-undang Sivil sekalipun. Iaitu prinsipnya adalah seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah dan pihak yang mendakwalah yang perlu membuktikannya. Inilah juga prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi dipersendakan oleh Kerajaan BN yang mengamalkan undang-undang rimba.

Untuk itu, PRIHATIN RAKYAT TERENGGANU mempertegaskan sokongan kami terhadap Saudara Suwandi, Azman dan 18 orang yang lain yang turut didakwa dalam insiden yang sama. Kami menuntut supaya mahkamah berlaku adil tanpa sebarang campurtangan politik dan menimbang untuk membebaskan Suwandi dan Azman kerana mereka tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Penahanan mereka adalah suatu hukuman sebelum mahkamah menjatuhkan hukumannya dan juga merupakan suatu kezaliman. Tujuan perhimpunan ini juga bagi menuntut keadilan agar pihak berkuasa tidak bertindak sewenang-wenangnya ke atas orang awam.

Perhimpunan aman pada hari ini adalah hak sejagat dan dijamin di bawah:

*Perkara 10 -Perlembagaan Persekutuan Negara - Hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata,

* Perkara 20 - Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 - Hak untuk kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan,

* Perkara 21- Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966.

Prihatin Rakyat Terengganu / 6 Januari 2008

Suwandi, Azman kekal tidak dibenar ikat jamin – Mustaffa Ali kesal

Ditulis oleh Wan Kay & AYu
Sunday, 30 December 2007
Kuala Terengganu, 30 Dis – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengekalkan keputusan tidak membenarkan mangsa tembakan polis dalam Insiden Berdarah Batu Burok, Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz di ikat jamin

Hakim Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari setelah mendengar hujah daripada pendakwa yang diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak pembela yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas.

Turut berhujah mewakili tertuduh ialah Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Turut mendengar keputusan itu ialah Naib Presiden dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub.

Pada 9 Disember lalu, Hassan memutuskan Suwandi, 38, dan Muhammad Azman, 21, tidak dibenarkan ikat jamin dan ditahan di Penjara Terbuka Marang.

Sehubungan dengan itu Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dato’ Hj Mustaffa Ali merasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini. Beliau menyatakan demikian didalam kenyataan akhbar beliau yang dikeluar hari ini. Berikut adalah salinan yang di e-melkan kepada Buletinonline :

KENYATAAN AKHBAR

Saya merasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang tidak membenarkan diikat jamin kepada mangsa tembakan peluru hidup dalam insiden Batu Burok pada 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz dan dalam masa yang sama membenarkan penangguhan perbicaraan daripada pihak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pada hari ini, peguam-peguam yang mewakili tertuduh itu yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas telahpun menyatakan mereka bersedia untuk menjalankan perbicaran.

Bagaimanapun, perbicaran tidak diadakan pada hari ini dan kenapakah Peguam Negara hanya pada hari ini memohon penangguhan atas alasan-alasan hendak menjalankan perbicaraan bersama dengan kes yang diadakan di Mahkamah Majistret.

Sepatutnya, semasa pada hari pendakwaan, 9 Disember lalu Peguam Negara sudah boleh membuat permohonan untuk menggabungkan kes itu.

Jadi hari ini kes tidak dapat dijalankan, hanya membuang masa dan tiba-tiba kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagi kita, ini suatu tindakan yang menganiaya kedua-dua tertuduh dan seolah-olah mereka ini telah dihukum walaupun belum dibuktikan bersalah. Malah, lebih mendukacitakan lagi mereka telah menjalani keadaan (penjara) tersebut khususnya Suwandi yang masih lagi tidak pulih sepenuhnya daripada kecederaannya.

Muhammad Azman pula dipukul dalam tahanan dan hari ini keluarga mereka membuat laporan polis. Peguam Negara semasa perbicaraan tadi menyatakan akan mempastikan orang yang membuat tindakan tersebut akan didakwa. Kita mahu lihat Abdul Gani mengotakan apa yang dikatakan itu.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peguam yang diketuai oleh Tun Mohd Salleh Abas bersama Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong dan Mohamad Hanipa Maidin serta pasukannya menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun keputusan tidak berpihak kepada kita.

Saya berharap kedua-dua keluarga Suwandi dan Muhamamd Azman bersabar dalam menghadapi situasi sekarang. Kita akan terus memberikan pembelaan dalam kes mereka walau berapa lama pun akan mengambil masa termasuk bantuan kebajikan.

Saya juga meminta ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya bertenang dalam menangani isu ini. Kita akan tangani isu ini dengan sebaik mungkin dan ini sebahagian daripada ujian yang terpaksa dilalui.

Dato’ Haji Mustafa Ali,

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu.

Bertarikh: 30 Disember 2007

Orang ramai berhimpun sokong Suwandi dan Azman di mahkamah KT

Ditulis oleh WartawanBuletinonline
Sunday, 30 December 2007
Kuala Trengganu, 30 Dis, 9.00am - Orang ramai mula berkumpul di depan mahkamah Kuala Terengganu seawal 8.00 pagi. Hari ini adalah hari pertama perbicaraan Suwandi dan Azman yang ditembak oleh polis tetapi dituduh oleh kerajaan UMNO/BN dengan sengaja mencederakan polis

Sehingga jam 9.00 pagi ketika berita ini dilaporkan, orang ramai terus masuk keperkarangan mahkamah dan berhimpun. Laungan 'hidup Islam' mula kedengaran.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Rakyat Terengganu, Dato' Ustaz Hj Abu Bakar Chik memberitahu orang ramai yang hadir bahawa himpunan yang dibuat pada pagi ini adalah untuk menuntut keadilan keatas perbicaraan Suwandi dan Azman. Turut hadir di dalam perhimpunan pada pagi ini adalah Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Tuan Haji Yahaya Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulama', Ustaz Hj Abu Bakar Abdullah.

Sehubungan dengan itu, perbicaraan hari pertama Suwandi dan Azman pada hari ini dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi. Laporan dari dalam Mahkamah Kuala Terengganu memaklumkan bahawa satu 'trak' polis telah masuk ke perkarangan mahkamah jam 8.30 pagi, melalaui pintu belakang.

Trak tersebut yang membawa penumpang memakai baju berwarna kuning yang biasa dipakai oleh mereka-mereka yang ditahan 'reman'. Kemungkinan besar, trak tersebut membawa masuk Suwandi dan Azman yang dipindahkan dari penjara Marang ke IPD Kuala Terengganu khamis lalu.

Sehingga jam 9.30 pagi, seramai kira-kira 500 orang telah pun berhimpun. Ucapan-ucapan silih berganti dibuat oleh para pimpinan PAS negeri dan Pusat. Antara yang berucap adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Ariffin Deraman, AJK Dewan Pemuda PAS Ustaz Ridwan Mohd Noor, Ketua De wan Pemuda PAS Marang, Ustaz Abu Bakar Solleh dan lain-lain.

Perhimpunan bersurai pada jam 10.15 pagi dengan orang ramai yang hadir melakukan solat hajat dihadapan mahkamah, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku

Razak pula saman polis, Kerajaan Malaysia


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh AYu
Thursday, 27 December 2007

Kuala Terengganu, 27 Dis - Seorang lagi mangsa dalam Tragedi Berdarah Batu Burok pada 8 September lalu, Abdul Razak Ismail, 36, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Saman difailkan terhadap Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negeri Terengganu (defendan kedua) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga. Beliau yang diwakili Tetuan Fariz Halim & Co memohon mahkamah membuat perintah ke atas defendan-defendan supaya membuat bayaran iaitu ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan agrabit yang akan ditakirkan, faedah mengikut undang-undang, kos kepeguaman dan lain-lain pemberian atau relif yang difikirkan wajar dan suaifaat oleh mahkamah.

Di dalam saman itu, beliau selaku plaintif turut menyebut salah laku anggota polis, iaitu menyerangnya secara salah dan tanpa hak yang diberi oleh undang-undang, menggunakan kekerasan melebihi daripada yang dibolehkan oleh undang-undang, dengan sengaja dan bertekad melakukan kecederaan, memukul, membelasah, menggunakan kekerasan dan melakukan perbuatan salah dan jahat yang mereka tahu akan memudaratkan dan akan menyebabkan kecederaan tubuh badan.

Dalam keadaan berlumuran darah, beliau telah dibawa dan dimasukkan untuk rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang kira-kira setengah kilometer dari tempat kejadian.

Beliau mengalami kecederaan luka kulit kepala yang memerlukan beberapa jahitan, lebam-lebam di seluruh badan, lebih-lebih lagi di bahagian belakang, kesakitan di seluruh badan, kejutan saraf dan penderitaan mental dan telah mengalami penderitaan fizikal dan mental semasa dirawat di hospital dan dalam proses penyembuhan di rumah.

Solat Hajat di Surau Penjara Marang

Ditulis oleh Wartawan Buletinonline
Thursday, 20 December 2007
Kuala Terengganu, 20 Dis - Solat hajat untuk memohon keadilan dan keselamatan keatas saudara Suwandi dan Azman akan diadakan di Surau Penjara Terbuka Marang pada hari Jumaat, 21 Disember, 2007

Majlis Solat Hajat tersebut akan dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah diikuti dengan kuliah maghrib, solat Isya' dan diakhiri dengan solat hajat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Ustaz Hj Abu Bakar Chik membuat pengumuman memaklumkan kepada jamaah, selepas menunaikan solat sunat Eidul Adha di Masjid Maahad Tahfidz Wal Tarbiyyah (MTT) yang masih dalam pembinaan.

"Solat hajat ini adalah untuk memohon kepada Allah keadilan dan keselamatan keatas mangsa tembakan peluru hidup, Saudara Azman dan Suwandi" jelas beliau kepada para jamaah.

"Walaupun belum dibuktikan bersalah, Azman dan Suwandi telah diperintahkan oleh hakim supaya mereka ditahan reman dipenjara Marang, seolah-olahnya mereka telah bersalah sebelum dijatuhkan hukuman dan ia adalah satu perintah yang zalim menurut Islam" tambahnya

Oleh yang demikian, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk bersama-sama menunaikan solat hajat di Penjara Terbuka Marang, bagi menyatakan sokongan kepada Suwandi dan Azman.

Tuduhan ke atas Suwandi dan Azman sepatutnya digugurkan - Angkatan Muda Keadilan

Wednesday, 19 December 2007
ANGKATAN Muda Keadilan Malaysia (AMK) merakamkan ucapan 'tahniah' kepada Peguam Negara kerana sekali lagi bersikap selektif di dalam tindakan terbaru beliau menggugurkan tuduhan cubaan membunuh ke atas 31 individu yang terlibat dalam perhimpunan anjuran Hindraf 25 November lalu.

Menyifatkan pengguguran ini memperlihatkan campurtangan politik yang melampau, AMK mempertikaikan mengapakah pengguguran dilakukan hanya selepas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf atas alasan 'mereka diperdaya pimpinan Hindraf dan sudah insaf.'

Atas prinsip-prinsip kemanusiaan, AMK ingin menggesa agar Peguam Negara turut menggugurkan tuduhan yang dilakukan ke atas dua ahli PAS, Suwandi Abdul Ghani dan Muhammad Azman Aziz yang ditembak seorang anggota polis dengan menggunakan peluru hidup dalam tragedi berdarah Batu Burok, Terengganu pada 8 September lepas.

Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa kononnya menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, dan dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar.

Sehingga kini rakyat terus tertanya-tanya, apakah hasil siasatan polis ke atas pegawai polis berkenaan yang melepaskan tembakan sehingga menyebabkan Suwandi dan Azman cedera parah. Dan amat menjelekkan, mangsa tembakan ditahan dan didakwa, sebaliknya si penembak terus bebas berkeliaran di luar!

AMK menggesa tuduhan ke atas mereka digugurkan dengan segera dan dibebaskan tanpa sebarang alasan.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Suhakam perlu tarik balik pembatalan siasatan Insiden Batu Burok

Wednesday, 19 December 2007

Kuala Lumpur, 19 Dis - Keputusan SUHAKAM membatalkan siasatan awam terhadap kes polis melepaskan tembakan peluru hidup dalam Insiden Batu Burok, Kuala Terengganu 8 September lalu mendapat reaksi negatif dari Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih).

Menurut Jurucakap Bersih, Sivarasa Rasiah, Suhakam sebelum ini membatalkan siasatan awam tersebut kerana dua mangsa dalam kejadian itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada 9 Disember lalu atas tuduhan cuba mencederakan anggota polis ketika perhimpunan haram itu.

Katanya, hujah Pengerusi panel siasatan awam itu Dato' Muhammad Shafee Abdullah berkata di bawah peruntukan Seksyen 12(2) dan (3) Akta Suhakam 1999 menyatakan suruhanjaya itu tidak boleh menyiasat kes yang belum selesai di mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah adalah bertentangan dengan semangat mempertahan hak asasi manusia.

Sivarasa yang juga seorang peguam berkata, interpretasi Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Muhammad Shafee Abdullah mengenai akta tersebut bercanggah dengan semangat untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia.

Sivarasa juga menjelaskan bahawa Suhakam tidak dibenarkan menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia sekiranya kes pelanggaran hak asasi manusia yang sama dibawa ke mahkamah.

Aduan mengenai anggota polis menembak ke arah orang ramai yang tidak bersenjata, tidak sama dengan kes menyebabkan kecederaan di mahkamah, katanya dalam satu kenyataannya yang disiarkan dalam sebuah akhbar versi internet

Seksyen 12 Akta Suhakam 1999, katanya, jika difahami secara mendalam, bertujuan 'mengelak mangsa pelanggaran hak asasi manusia daripada membawa aduannya ke mahkamah dan kemudiannya meminta (Suhakam) menjadikan siasatan'

Beliau menggesa Suhakam supaya menarik pembatalan tersebut dan meneruskan siasatan awam.

Baginya, Suhakam telah menghantar isyarat yang salah kepada pihak polis dan pihak penguatkuasa apabila membatalkan siasatan tersebut kerana ia "akan menggalakkan lebih banyak pelanggaran dan budaya bebas daripada hukuman."

Justeru beliau sekali lagi menggesa Suhakam supaya menarik semula keputusan badan itu membatalkan siasatan awamnya..

Dalam kejadian di Batu Burok, polis didakwa telah melepaskan peluru hidup ke atas dua orang awam iaitu, Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38.

Polis didakwa melepaskan lima tembakan peluru hidup ke atas orang ramai yang menyertai satu bantahan pada kira-kira jam 11.40 malam dekat Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud - Harakahdaily

Tuduhan ke atas Hindraf digugurkan, Batu Burok diketepi : Perdana Menteri pilih kasih?

Ditulis oleh Editor
Monday, 17 December 2007

Kuala Lumpur, 16 Dis - "Dato' Seri Samy Vellu telah menyampaikan kepada saya permohonan ibu bapa pemuda seramai 31 orang agar anak mereka tidak ditahan serta dibebaskan dari tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis semasa demonstrasi Hindraf di Batu Caves tempoh hari.

"Mereka juga sudah insaf serta berjanji tidak mahu lagi ikut serta mana-mana perhimpunan Hindraf di masa akan datang kerana selama ini mereka telah terpedaya. Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan keatas mereka."

Begitulah antara petikan dan ungkapan yang dianggap sebagai 'pilih kasih' daripada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan di berita TV 15 Disember lalu.

Kenyataan Abdullah mengundang pelbagai persoalan dan pertikaian ramai pihak dan masyarakat khususnya pemerhati politik dengan pendekatan beliau dalam menangani krisis yang berlaku.

Dua perkara bersabit yang menyebabkan dibangkitkan, pertama Abdullah sendiri meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf, seolah-olah membuktikan PM sudah 'memperalat', 'memperkudakan' dan mempengaruhi sistem badan kehakiman.

Secara tidak langsung membayangkan Abdullah berkuasa sama ada mahu mengekalkan tuduhan atau membebaskan siapa sahaja dengan berselindung di sebalik kuasa eksekutiff sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau dan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib pernah menyatakan tidak sesiapapun boleh mengatasi undang-undang.

Implikasi kedua, dalam insiden Batu Burok, Trengganu yang hampir serupa tetapi sedikit berbeza, dua mangsa keganasan dan tembakan peluru hidup Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38, dituduh cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar sedangkan tubuh mereka berdua ditembusi peluru namun terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana tidak dibenarkan ikat jamin.

Jauh sekali untuk mendengar sama sekali Perdana Menteri berkata :"Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan ke atas mereka."

Sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd Wahid Endut berkata, beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan selepas ditembak malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing, katanya.

Kamal Amir yang menulis di Malaysia Today juga berpendapat kenyataan Abdullah (yang membela dan percaya 31 demostarn itu insaf) boleh diseret kemuka pengadilan atas tuduhan "menghina mahkamah" kerana mengeluarkan kenyataan berpihak "subjudice" sebelum mahkamah memulakan prosiding dan membuat keputusan.

"Kalau benarpun mahu memenuhi permintaan Samy Vellu yang semakin ketandusan pengaruh dari masyarakat India kenapa tidak didiamkan sahaja tanpa diumumkan kepada khalayak," katanya yang dipetik daripada blog tersebut.

Dalam pada itu, seorang penganalisa politik berpendapat, penangkapan puluhan aktivis politik dalam isu Hindraf, Himpunan Bersih dan Batu Burok disifatkan sebagai langkah mempertahankan survival politik Abdullah dan tiada kaitan dengan unsur jenayah seperti yang didakwa memandangkan Abdullah sendiri 'boleh berunding' dalam mengkaji semula pertuduhan mereka.

"Tindakan itu mestilah disusuli dengan mengkaji semula ataupun membebaskan semua yang terlibat dalam perhimpunan aman Bersih dan Batu Burok juga," katanya yang bersetuju dengan sikap Abdullah yang 'boleh bertolak ansur'.

Mengulas isu sama, dalam blog Roslan SMS turut membangkitkan persoalan mengapa Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk menganggu proses pendakwaan?

"Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang terperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!," kata Roslan dalam blognya.

"Bagaimana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang ditembak tetapi mereka yang didakwa?," katanya

Beliau dalam blog n32.blogspot.com menganggap Abdullah dan Samy Vellu tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 mereka yang terbabit dalam perhimpunan Hindraf - Harakahdaily.

Suhakam batal siasatan awam kerana Azman dan Suwandi telah didakwa


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh WartawanBuletinonline
Thursday, 13 December 2007

Kuala Terengganu, 13 Dis - SUHAKAM membatalkan siasatan awan terhadap penggunaan peluru hidup didalam peristiwa berdarah Batu Burok yang berlaku pada 8 September 2007

Pengerusi panel siasatan awam itu Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata pembatalan itu perlu dibuat kerana dua mangsa dalam kejadian itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Disember lepas 'atas tuduhan cuba mencederakan anggota polis' .

Muhammad Shafee berkata keterangan yang diberikan di mahkamah nanti akan merangkumi kejadian tembakan atau penggunaan peluru hidup dan fakta itu akan bercantum dalam satu transaksi yang sama.

"Di bawah peruntukan Seksyen 12(2) dan (3) Akta Suhakam 1999-Akta 597 menyatakan suruhanjaya tidak boleh menyiasat apa-apa aduan yang berhubungan dengan apa-apa perlanggaran hak asasi manusia yang merupakan hal prosiding yang belum selesai di mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah," katanya pada sidang media di sini yang turut dihadiri dua lagi anggota panel iaitu Tan Sri Asiah Abu Samah dan Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Siasatan awam itu sepatutnya diadakan selama empat hari bermula hari ini melibatkan lebih daripada 20 saksi termasuk anggota polis dan orang awam.

Bagaimanapun katanya, Suhakam akan menghantar wakil sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan yang ditetapkan pada 30 dan 31 Disember ini bagi memastikan perbicaraan tersebut berlandaskan hak asasi manusia.

Muhammad Shafee berkata beliau amat kecewa dengan pembatalan itu kerana Suhakam telah mengadakan siasatan awal dari 21 hingga 24 November lepas dengan merekodkan keterangan daripada 10 pegawai polis dan tujuh orang awam termasuk kedua-dua tertuduh (Muhammad Azman dan Suwandi) serta mendapatkan semua laporan perubatan yang berkaitan siasatan awam itu.

"Tindakan Suhakam untuk membuat siasatan berdasarkan fakta bahawa selepas hampir tiga bulan daripada kejadian, tiada mana-mana pihak termasuk polis dan Peguam Negara yang mengambil tindakan mahkamah terhadap insiden itu.

"Pada 14 November lepas, Suhakam telah membuat satu sidang akhbar mengumumkan keputusan yang dibuat suruhanjaya bahawa satu panel akan membuat siasatan berhubung insiden ini.

"Malangnya dari tarikh tersebut hingga 9 Dis lalu, pihak pendakwaan tidak langsung memberi gambaran yang insiden itu akan menjadi satu tindakan mahkamah," katanya.

Muhammad Shafee berharap tindakan itu (pendakwaan ke atas dua tertuduh) bukanlah cubaan mana-mana pihak untuk menggagalkan siasatan awam itu.

Terdahulu, anggota panel Suhakam mendengar keterangan daripada pegawai penyiasat ASP Zainuddin Yatimin berkenaan kes itu selama kira-kira 20 minit sebelum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan siasatan awam itu mengikut peruntukan sedia ada.

Dalam prosiding yang dijalankan secara terbuka itu, Zainuddin, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berkata ketika kejadian, pihak polis telah melepaskan empat das tembakan dengan peluru hidup dan dua daripadanya mengenai Muhammad Azman dan Suwandi.

Katanya berdasarkan perbincangannya dengan pihak polis di Bukit Aman dan Peguam Negara, didapati tindakan Wan Abdul Aziz melepaskan tembakan itu mempunyai unsur mempertahankan diri.

Kepada pertanyaan Muhammad Shafee sama ada ketika perbicaraan di mahkamah kelak isu tembakan itu akan dibangkitkan atau tidak, Zainuddin berkata: "Kita tidak boleh tutup (kenyataan mengenai tembakan), ia akan dinyata bersama."

Zainuddin turut memberitahu dalam siasatannya beliau telah memanggil 27 orang untuk memberi keterangan yang terdiri daripada pegawai polis, doktor yang mengeluarkan peluru, pakar forensik dan orang awam.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd Wahid Endut pula berkata beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan selepas ditembak.

Malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing, katanya.

Kehadiran 'AG' menimbulkan ‘intimidasi’


Cetak
Ditulis oleh SM Noor
Tuesday, 11 December 2007
Kuala Terengganu, 10 Dis - Kehadiran Peguam Negra (Attorney General - AG) melakukan pendakwaan keatas kes-kes di mahkamah sesyen kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak.

Sebelum dari menjadi pendakwa didalam kes ‘peristiwa berdarah Batu Burok’ ( Suwandi dan Azman) di mahkamah sesyen Kuala Terengganu, Ghani Patail menjadi pendakwa didalam kes perhimpunan ‘haram’ HINDRAF.

Kemudian pada lewat semalam, di mahkamah sesyen Kuala Lumpur, Ghani juga yang menjadi pendakwa didalam kes BERSIH yang mendakwa Naib Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu.

Seorang peguam muda, FathiAziz Abu Bakar berpendapat, kehadiran Ghani sebagai AG di mahkamah sesyen menimbulkan satu bentuk ‘intimidation’(gertak, ugutan) kepada mahkamah dan mempengaruhi keputusan yang dibuat.

“Dari segi pentadbiran mahkamah, hakim-hakim mahkamah sesyen adalah terletak dibawah pentadbiran peguam negara” jelas beliau.

“Hakim-hakim yang membicarakan kes dimahkamah sesyen, dipanggil pesuruhjaya kehakiman ‘Judicial Commisioner’. Kenaikan pangkat hakim-hakim ini adalah dibawah ‘rujukan’ peguam negara” tambah Fathi.

Kehadiran Ghani Patail sebagai Peguam negara ke mahkamah sesyen Kuala Terengganu juga menyebabkan ramai pegawai tinggi polis yang hadir, termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah.

Keadaan ini adalah kebiasaan didalam pentadbiran kerajaan, kehadiran orang ‘atasan’ akan diraikan oleh seseorang pegawai ‘bawahan’. Apatah lagi kehadiran Ghani sebagai Peguam Negera yang menjadi Ketua Jabatan.

Dari sudut pentadbiran, keadaan ini menimbulkan suasana ‘intimidasi’. Seseorang pegawai ‘bawahan’ yang akan membuat keputusan, sudah tentu merasa janggal dengan kehadiran orang ‘atasan’nya.

Suwandi dan Azman ikon sejati BERSIH

Ditulis oleh SM Noor
Monday, 10 December 2007

Kuala Terengganu, 9 Disember Hakim mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Hasan Abd Ghani memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh di penjara.

Azman dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan Suwandi dari Kampung Binjai Rendah, Marang dipenjara dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 30 dan 31 Disember ini.

Didalam penghujahan pendakwa yang juga Peguam Negara, Abd Ghani Patail telah meminta mahkamah supaya tidak membenarkan Azman dan Suwandi diikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan memandangkan ia membabitkan kesalahan serius kerana turut membabitkan kepentingan umum dan negara.

Katanya Azman dan Suwandi menghadiri perhimpunan ‘haram’ pada malam itu dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bersih yang selepas itu turut mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 10 November lepas.

Justeru, Abd Ghani telah meminta Hakim supaya mempertimbangkan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh itu bukan sahaja sebagai ‘peserta’ tetapi juga perlu dilihat sebagai ‘organisasi’ yang melakukan kesalahan berulang.

"Jika tidak diambil tindakan tegas, maka perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Bersih akan berterusan. Saya dengan tegas menentang apa-apa jaminan dan mereka tidak boleh diberi jamin," kata Abd Ghani

Dalam memberikan hujah balas, peguam Azman dan Suwandi, Mazlan Md Zin berkata, adalah tidak wajar anak guamnya tidak dibenarkan ikat jamin semata-mata ingin memberi pengajaran kepada BERSIH.

Hakim Hasan kemudiannya memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 30 dan 31 Dis ini.Berikutan dengan keputusan hakim Hassan Abd Ghani, Azman dan Suwandi kini benar-benar menjadi ikon sejati BERSIH. Mereka ditembak, dan kemudian dipenjara kerana menyokong BERSIH.

Orang ramai pencinta keadilan dan penyokong organisasi BERSIH diminta supaya mengadakan solat hajat sebagaimana seruan yang dibuat oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Suwandi, Azman ditahan di penjara

Ditulis oleh AYu
Sunday, 09 December 2007
KUALA TERENGGANU, 9 Dis – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memutuskan mangsa tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah Batu Burok pada 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21, tidak dibenarkan ikat jamin.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Tuan Hassan Abdul Ghani pada jam 12.30 tengah hari setelah mendengar hujah daripada pendakwa yang diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak pembela yang terdiri daripada Mazlan Mohd Zain, Abdul Haris Malik dan Kamaruzaman Abdul Wahab.

“Jaminan tidak ditawarkan dan ditahan di penjara,” ujarnya.

Suwandi dan Azman yang menghadapi empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama, pertuduhan pilihan kepada pertuduhan pertama, pertuduhan kedua dan pertuduhan pilihan kepada pertuduhan kedua mengaku tidak bersalah.

Di dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.

Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yng sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.

Pertuduhan pilihan kepada pertuduhan pertama iaitu menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.

Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 332 kanun yang sama dan sekiranya bersalah boleh dihukum dengan penjara untuk tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang dan telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah boleh dihukum tidak melebihi enam bulan atau denda atau ekdua-dua sekali.

Pertuduhan pilihan kepada pertuduhan kedua iaitu mereka didapati berada dalam satu perhimpunan haram dan telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 (Akta 344) yang boleh dihukum di bawah seksyen 27(8) akta yang sama.

Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dihukum tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan penjara selama tidak melebihi setahun.

Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud adalah anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Tuan Hassan menetapkan hari perbicaraan pada 30 dan 31 Disember ini.

Hadir sama mendengar mendengar keputusan itu ialah Setiausaha dan Bendahari PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali dan Haji Mohd Abdul Wahid Endut

Suhakam adakan siasatan awam insiden Batu Buruk

Insiden Batu Buruk: Suhakam perlu benar-benar bebas - Presiden PAS
Berita

Awang Harun

Sun | Nov 18, 07 | 10:23:13 am MYT

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Hrkh) - PAS menyambut baik hasrat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang akan mengadakan satu Siasatan Awam berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 8 September 2007 lalu.



Suhakam sewajarnya menjadi sebuah badan yang bebas, berwibawa serta menjalankan tugas dengan adil dan telus.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahukan Suhakam benar-benar menjadi satu badan yang berwibawa serta dapat menjalankan tugas dengan adil, telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Suhakam digesa tegas, tidak tunduk pada pengaruh pemerintah

"Saya mengharapkan supaya Suhakam benar-benar menjadi satu badan bebas yang berwibawa dan dapat menjalankan tugas dengan adil dan telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak supaya dihormati bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara. "Kita (PAS) juga mengharapkan supaya Suhakam benar-benar menjadi pembela rakyat yang tulin tanpa tunduk kepada apa-apa tekanan dan pengaruh dari pihak yang memerintah negara ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 di Dewan Dato' Wan Mutalib di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, negara kini menghadapi krisis keadilan yang sangat ketara akibat campur tangan politik dalam semua agensi kerajaan, jabatan dan kementerian.

Oleh itu, katanya Suhakam perlu mempunyai pendirian yang tegas serta tidak tunduk terhadap pelbagai tekanan serta pengaruh pemerintah negara.

Manakala, Bendahari PAS Terengganu,Mohd Abdul Wahid Endut turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Suhakam yang akan mengadakan Siasatan Awam terhadap kes di Batu Buruk itu.

"Saya ucap terima kasihlah kepada pihak Suhakam yang akan membuat Siasatan Awam dengan kes 8 September di Batu Buruk.

"Polis buat siasatan tetapi yang didakwa adalah yang gambar mereka disiarkan dalam akhbar kerana terlibat dengan perhimpunan haram dan bukan kes penggunaan peluru hidup oleh polis," ujarnya.

Menurutnya, anggota polis yang terlibat melepaskan tembakan hingga mencederakan dua orang awam tidak didakwa serta diambil tindakan.

"Tindakan terhadap polis yang menembak tidak diambil. Mereka (polis) kata menyiasat tetapi tidak mendakwa dan tidak mengambil tindakan hingga sekarang.

"Suhakam tidak puas hati, sebab itu sekarang ini dia akan buat satu Siasatan Awam khusus berhubung dengan isu insiden 'menembak orang awam dengan peluru hidup'," jelasnya.

Pada sidang akhbar 14 November 2007 lalu, Suhakam mengumumkan akan mengadakan satu Siasatan Awam berhubung dengan dakwaan penggunaan peluru hidup semasa insiden di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Siasatan Awam tersebut akan dikendalikan oleh tiga Pesuruhjaya Suhakam yang dipengerusikan oleh Dato' Muhammad Shafee Abdullah, Tan Sri Dato' Asiah Abu Samah dan Prof Dato' Dr Khoo Kay Kim.

Suhakam kutuk polis guna peluru hidup

Sebelum ini, hasil siasatan awal Suhakam mendapati berlakunya keganasan polis terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Pesuruhanjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam pada sidang media di pejabat Suhakam pada 9 Oktober lalu.

Kenyataan itu dibuat hasil daripada perbincangan mesyuarat Suruhanjaya Suhakam yang diadakan Isnin 8 Oktober lepas berhubung insiden 'berdarah' selepas polis cuba menyuraikan orang ramai yang menghadiri ceramah yang sudah pun dibatalkan anjuran badan pemantau pilihan raya, Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, kata Siva.

"Bukti yang ada menunjukkan polis gagal mengawal orang ramai dalam tempoh masa yang cepat, memandangkan rusuhan itu berterusan dari jam 10 malam hingga 2 pagi.

"Ianya mungkin kerana pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lebih bertindak bertahan dan tidak mengambil tindakan ofensif ketika mengendalikan orang ramai," katanya.

Sewajarnya polis menggunakan budi bicara dan mengelak daripada menggunakan senjata api sewaktu menyuraikan atau berhadapan dengan perhimpunan aman.

"Kita kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis menggunakan 'standard' antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.

"Kita percaya seorang insan itu perlu dihormati dan mempunyai hak untuk hadir dalam perhimpunan aman," katanya menjelaskan tentang prinsip hak asasi manusia yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak


15-11-2007 11:42:49 AM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan inkuiri awam mengenai dakwaan penggunaan peluru hidup dalam kejadian rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 Sept lepas, kata pesuruhjayanya Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Sebuah panel terdiri daripada tiga pesuruhjaya Suhakam termasuk beliau selaku pengerusi dan Tan Sri Asiah Abu Samah serta Prof Datuk Khoo Kay Kim telah ditubuhkan bagi mengendalikan inkuiri itu, katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata keputusan menubuhkan inkuiri awam dibuat pada Mesyuarat Suruhanjaya ke-93 pada Isnin atas kepentingan hak asasi manusia untuk memastikan sama ada peluru hidup digunakan oleh anggota polis dalam kejadian itu.

Ditanya mengapa Suhakam tidak mengadakan inkuiri itu lebih awal, Muhammad Shafee berkata: "Kami bergantung kepada siasatan polis dan kami memberi laluan kepada proses perundangan terlebih dahulu, dan memandangkan tiada siasatan yang menjurus kepada perkara itu, kami mengadakannya."

Muhammad Shafee menjelaskan bahawa inkuiri yang dijalankan oleh Suhakam itu tidak akan menyentuh mengenai perhimpunan haram tetapi hanya menumpukan kepada isu sama ada tembakan menggunakan peluru hidup telah dilepaskan dalam rusuhan itu.

Beliau berkata inkuiri awam itu ialah bagi menyiasat keadaan sebenar dan justifikasi polis melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup kepada orang ramai menyebabkan kecederaan dan sama ada berlaku pelanggaran terhadap hak asasi manusia.

Jika berlaku pelanggaran hak asasi manusia, panel akan menentukan siapa atau agensi mana yang bertanggungjawab dan bagaimana ia berlaku, katanya.

Sehubungan itu, Mohammed Shafee meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau sesiapa yang merasakan mereka mungkin boleh memberikan maklumat dan dokumen berkaitan serta bukti lain mengenai kejadian itu supaya menghubungi Suhakam secepat mungkin.

Mereka boleh menghubungi Nurul Hasanah Ahmad atau Shahizad Sulaiman di pejabat Suhakam di Menara Tun Razak atau menelefon melalui talian 03 26 12 56 69 atau 26 12 56 23 atau hantarkan melalui faksimili ke nombor 03 26 12 56 20 atau 26 12 56 94 atau emel ke alamat humanrights@suhakam.org.my.

Dalam kejadian 8 Sept lepas, lebih 600 orang bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek termasuk besi, kayu, botol kaca dan bom molotov ke arah polis setelah diarah bersurai daripada perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud di Batu Buruk, Kuala Terengganu, menyebabkan tujuh orang, termasuk empat anggota polis cedera.

Seorang anggota polis yang dikatakan diserang sekumpulan kira-kira 20 orang pula terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri, menyebabkan dua orang cedera. BERNAMA

Insiden Batu Buruk: Suhakam kutuk polis guna peluru hidup!

Wed | Oct 10, 07 | 7:59:52 am MYT

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Hrkh) - Hasil siasatan awal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati berlakunya keganasan polis terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan.

Demikian antara kenyataan media yang dibacakan Suruhanjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam pada sidang media di pejabat Suhakam petang semalam.

Kenyataan itu dibuat hasil daripada perbincangan mesyuarat Suruhanjaya Suhakam yang diadakan Isnin 8 Oktober lepas berhubung insiden 'berdarah' selepas polis cuba menyuraikan orang ramai yang menghadiri ceramah yang sudah pun dibatalkan anjuran badan pemantau pilihan raya, Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, kata Siva.

"Bukti yang ada menunjukkan polis gagal mengawal orang ramai dalam tempoh masa yang cepat, memandangkan rusuhan itu berterusan dari jam 10 malam hingga 2 pagi.

"Ianya mungkin kerana pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lebih bertindak bertahan dan tidak mengambil tindakan ofensif ketika mengendalikan orang ramai," katanya. Image

Sewajarnya polis menggunakan budi bicara dan mengelak daripada menggunakan senjata api sewaktu menyuraikan atau berhadapan dengan perhimpunan aman.

"Kita kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis menggunakan 'standard' antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.

"Kita percaya seorang insan itu perlu dihormati dan mempunyai hak untuk hadir dalam perhimpunan aman," katanya menjelaskan tentang prinsip hak asasi manusia yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak.

Sepatutnya polis mengelak berlakunya kekerasan,kecederaan dan penggunaan asakan fizikal tetapi sebaiknya menggunakan budi bicara serta perbincangan dalam menghadapi perhimpunan aman, katanya.

Suhakam tidak boleh membuat Siasatan Awam

Dalam pada itu siasatan awal Suhakam tidak menemui sebarang bukti bahawa pihak penganjur mahupun pihak polis telah merancang untuk melakukan rusuhan pada malam tersebut.

Ketika ditanya wartawan, Siva berkata, siasatan awal itu gagal menentukan punca sebenar berlakunya rusuhan tersebut tetapi menjelaskan secara umum bahawa sesuatu yang dibenarkan tetapi dilarang menyebabkan perkara tersebut terjadi.

"Pada pandangan saya bahawa jika dibenarkan perhimpunan aman perkara seperti ini tidak akan berlaku," katanya yang memandang serius kejadian Batu Buruk itu.

Siva bagaimanapun menjelaskan lagi bahawa Suhakam memutuskan tidak akan mengadakan siasatan awam atas alasan perundangan walaupun maklumat awal yang dikumpulkan dalam siasatan awal Suhakam mendapati terdapat bukti keganasan polis dan pelanggaran hak asasi manusia sewaktu kejadian tersebut.

Katanya Suhakam "tidak mempunyai kuasa" untuk menyiasat rusuhan tersebut kerana ada kes mengenainya di mahkamah yang melibatkan seorang individu yang hadir di perhimpunan itu, Khair Muzakkir Ali, 22, atas tuduhan merosakkan harta benda awam dan gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada polis sewaktu kejadian rusuhan tersebut.

Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 melarang suruhanjaya itu daripada menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia apabila kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah, katanya.

"Jika undang-undang membenarkan, kita pasti menimbang (untuk mengadakan siasatan awam)," katanya ketika ditanya jika suruhanjaya tersebut akan mengadakan siasatan awam jika tiada lagi kes mengenainya didengar di mahkamah.

Tembakan ke udara?

ImageWalaupun begitu, Suhakam tetap akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai cadangan suruhanjaya itu berhubung langkah-langkah kawalan orang ramai dan pindaan kepada Akta Polis 1997 mengenai pengeluaran permit untuk mengadakan perhimpunan awam.

Suhakam akan mengesyorkan supaya Sesyen 27 Akta Polis 1997 dipinda untuk memboleh perhimpunan secara aman diadakan tanpa perlu mendapatkan permit dalam pertemuannya dengan Musa nanti.

Siasatan awal Suhakam yang diketuai oleh Siva sendiri telah menemubual sejumlah 43 individu yang terdiri daripada 13 "mangsa", 22 anggota polis dan lapan pemimpin parti pembangkang termasuk menyaksikan rakaman video antara 19 dan 20 September lalu.

Ditanya wartawan berhubung video insiden itu, Siva menjawab rakaman tersebut telah dibekal oleh pihak Polis dan FRU memandang penganjur mendakwa semua kamera dan video di pihaknya telah dirampas oleh polis sebelum ini.

"Kita juga telah menyoal Konstabel yang menembak. Katanya dia melepaskan tembakan ke udara.

"Dan kita juga menemubual mangsa tembakan peluru hidup itu dan menyatakan bahawa dia ditembak daripada belakang," kata Siva yang menjawab soalan wartawan sambil menunjukkan gambar mangsa dan FRU yang tercedera kepada media namun tidak dapat menjelaskan secara terperinci dan membuat sebarang kesimpulan memandangkan Suhakam tidak dapat melakukan siasatan awam seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Siva juga menegaskan bahawa Suhakam tidak menyokong sebarang perhimpunan awam yang tidak diadakan secara aman, dan suruhanjaya itu mengklasifikasikan kejadian di Batu Buruk itu sebagai satu rusuhan, berdasarkan kepada bukti-bukti yang diperolehi.

Dalam insiden tersebut, tujuh orang dilaporkan cedera termasuk empat anggota polis dan dua orang awam yang terkena tembakan seorang anggota polis.