Friday, September 14, 2007

Dituduh dalang rusuhan, KeADILan akan saman NST


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas media yang menyiarkan laporan yang tidak tepat berhubung insiden yang berlaku di Batu Buruk pada 8 September lalu.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata KeADILan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar New Straits Times yang menuduh parti itu menjadi dalang kepada rusuhan yang berlaku.
KeADILan ujarnya berasa sangat tersinggung dengan laporan akhbar tersebut yang secara tidak langsung memalukan dirinya yang pernah menjadi Ketua Pengarah Eksekutif sebuah syarikat yang besar.
"Saya kesal dengan sikap media yang bertujuan untuk menjatuhkan pengaruh dan reputasi saya yang sebelum ini pernah menerajui sebuah syarikat yang agak besar. Apa yang berlaku ini akan turut memberi kesan kepada pelabur-pelabur luar yang pernah berurusan dengan syarikat tersebut," ujarnya kepada pemberita semasa Sidang Media anjuran PAS dan Gabungan Pilihan raya Adil dan Bersih (Bersih).
Khalid turut mengulas tindakan polis yang melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan orang ramai yang telah menimbulkan ketakutan serta telah menyebabkan dua orang telah mengalami kecederaan yang serius.
"Ia adalah tindakan yang tidak sesuai dan tidak perlu, kerana ia merupakan sikap yang melambangkan tidak percaya kepada sistem pengawalan dan pengurusan sekuriti polis dan kerajaan," dakwanya lagi.
Beliau melahirkan rasa sedih terhadap tragedi yang berlaku terutamanya kepada keluarga mangsa yang terkena tembakan tragedi tersebut.
Sambil menyifatkan ia adalah insiden yang teruk, Khalid berpendapat kejadian itu merupakan petanda yang tidak baik kepada perjalanan demokrasi sesebuah negara.
"Walau bagaimanapun, apa yang berlaku ini bukan satu alasan kerajaan yang berusaha untuk mengurangkan kempen bagi memberikan penerangan tentang kepincangan yang berlaku dalam kerajaan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Bersih bagi menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Sementara itu, Khalid turut meminta pihak media massa bersikap adil dan profesional serta mengelakkan mereka daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak termasuk parti-parti politik.
"Media diharap agar menerangkan kebenaran dan tidak bersikap membodek kerajaan kerana ia bukan melambangkan elemen sebuah negara yang maju," katanya menyelar tindakan sesetengah media.
Sementara itu, Sekretariat Bersih, Faizal Mustafa memaklumkan bahawa Bersih telah mengusulkan supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kejadian di Batu Buruk itu. - mks.

No comments: