Friday, September 14, 2007

Mangsa tembakan polis jalani pembedahan di HUSM


KOTA BHARU, 10 Sept (Hrkh) – Mangsa tembakan 'peluru hidup' pada perhimpunan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu malam semalam menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, malam tadi.
Difahamkan lelaki itu dibawa masuk ke dewan bedah kira-kira jam 8.30 malam. Ketika ketibaan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 9 malam, mangsa sudah dibawa ke dewan bedah.
Turut kelihatan di hospital terbabit keluarga mangsa dari Terengganu. Selain itu, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, Naib Presiden, Dato’ Husam Musa, anggota-anggota jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Dato' Abdul Halim Abd Rahman, Ustaz Hassan Shukri dan Dato’ Dr Mahfudz Mohamad.
Abdul Hadi ketika bercakap kepada wartawan selepas itu berkata, negara ini sekali lagi mencatat rekod tersendiri dalam usaha menyurai perhimpunan parti pembangkang menggunakan peluru hidup.
"Saya melahirkan rasa kesal di atas tindakan pihak polis melakukan tembakan menggunakan peluru hidup dalam usaha menyuraikan demontrasi aman oleh rakyat.
"Perhimpunan yang dilakukan secara aman tidak sepatutnya polis menggunakan kekerasan melampau ketika menyurainya," katanya.
Pada kejadian di Batu Buruk, Terengganu malam semalam dua orang awam yang menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) ditembak menggunakan peluru hidup.
Ekoran kecederaan parah yang dialami, seorang mangsa kemudian dipindahkan HUSM petang semalam bagi mengeluarkan peluru yang terbenam dalam dadanya.
Presiden PAS itu berkata, menggunakan peluru hidup sehingga mendatangkan kecederaan parah ke atas orang ramai yang menyertai perhimpunan aman itu tidak dapati diterima.
"Berdasarkan maklumat yang diterima rusuhan itu berpunca ekoran tindakan provokasi yang dilakukan pihak polis terlebih dahulu. Kita yakin sekiranya tidak ada provokasi rusuhan tersebut boleh dielakkan daripada berlaku," ujarnya.
Beliau juga berkata, PAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi ekoran tindakan polis itu hari ini apabila mendapat laporan lengkap mengenai kejadian yang berlaku itu. - mj/mks

No comments: