Friday, September 14, 2007

Jika rusuhan dirancang pembangkang, mengapa tolak usul? - Salahuddin

KUALA LUMPUR, 12 Sep (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub menuntut supaya dijelaskan mengapa usul untuk membincang dan memperbahaskan secara terbuka tragedi berdarah di Batu Burok ditolak jika benar dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa ia merupakan taktik yang sengaja dirancang oleh parti pembangkang.
Sambil menyifatkan tuduhan liar Perdana Menteri sebagai fitnah jahat dan pembohongan besar, beliau berkata, keengganan menerima usul itu membuktikan dengan jelas siapa yang sebenarnya merancang rusuhan itu.
"Saya membentang usul itu dengan tujuan supaya keadilan dan maklumat sebenarnya dapat ditegakkan.
"Jika benar tragedi berdarah akibat keganasan polis itu merupakan taktik yang sengaja dirancang oleh parti pembangkang seperti dakwaan fitnah jahat dan pembohongan besar Perdana Menteri, mengapa tidak diterima usul itu supaya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional boleh mengambil peluang untuk membuktikan bahawa tragedi berdarah itu merupakan perancangan pembangkang?" beliau mempersoalkan.
Salahuddin mengingatkan Perdana Menteri bahawa kini telah bertebaran mesej SMS ke seluruh negara bahawa keganasan polis di Batu Burok itu adalah perancangan Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk mensabotaj PAS dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
"Perdana Menteri selalu tidur dan beliau mungkin tidak sedar. Tetapi apa yang berlaku di Batu Burok itu dikaitkan oleh mesej SMS tersebut dengan Setiausaha Politiknya sendiri.
"Saya tidak tahu sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak. Tetapi, jika dakwaan itu benar, ia bermakna perancangan tragedi berdarah akibat keganasan polis itu dirancang oleh orang-orang Perdana Menteri sendiri memandangkan Wan Farid memang terkenal sebagai sebagai pengikut setia yang sangat patuh dan taat kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.
"Jika dakwaan itu benar, tidak ada siapa yang percaya bahawa Wan Farid berani melakukan tindakan itu tanpa restu Khairy," katanya.
Salahuddin juga menyifatkan penolakan usul yang dikemukakannya itu akan menyebabkan rakyat menganggap kerajaan mempunyai sesuatu untuk diselindungkan.
Usul tergempar yang dikemukakan oleh Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk membincangkan keganasan polis itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Talib semalam.
Ramli menyifatkan perkara itu bukan perkara segera yang perlu dibahaskan dan dibincangkan di dewan tersebut.
Malaysiakini versi Inggeris semalam memetik Ramli sebagai berkata: “It is just a riot and the police are investigating"
Dalam usul tersebut, Salahuddin berkata, kejadian itu, yang mengakibatkan ramai cedera dan dua orang ditembak polis, mesti dibahaskan kerana ia berkepentingan awam.
Katanya, Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu menjelaskan mengapakan peluru hidup digunakan digunakan keatas orang awam yang tidak bersenjata.
"Integriti pihak polis sangat-sangat dipersoalkan dalam peristiwa ini di mana seolah-olah budaya “trigger happy” diaplikasikan ke atas orang awam tanpa memperhitungkan nyawa dan keselamatan awam.
"Persoalannya, adakah penggunaan peluru hidup telah menjadi satu pendekataan baru pasukan Polis DiRaja Malaysia?," kata beliau.
Tragedi hitam dan sedih ini tidak mungkin akan berlaku sekira pihak keselamatan memberikan permit kepada mana-mana pihak yang berhasrat ini menganjurkan perhimpunan aman sepertimana yang diperuntukan oleh perlembagaan negara dan semangat demokrasi, katanya lagi.
Pasukan polis menjadi sasaran hebat kritikan ekoran tindakan menembak orang awam dengan peluru hidup dalam kejadian itu.
Dalam tragedi berdarah itu, seorang anggota polis yang tidak beruniform dengan sengaja telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan dengan menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua orang awam mengalami kecederaan yang amat seruis.
Mangsa pertama Suwandi bin Abd Ghani, 37 tahun telah menggalami kecederaan parah dan telah dipindahkan daripada Hospital Besar Kuala Terengganu ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bahru untuk menjalani pembedahan.
Beliau masih dalam keadaan yang amat kritikal.
Mangsa kedua, Mohd Azman Bin Abd Aziz, 21 tahun juga mengalami kecedaraan parah dan masih dirawat di Hospital Besar KualaTerengganu.
Bagi mengelakkan dirinya dari memikul tanggungjawab berikutan keganasan polis itu, Abdullah berkata insiden tersebut mungkin berpunca daripada pembangkang

Usul Keganasan Polis di Kuala Terengganu oleh YB. Salahuddin Ayub
Date: Monday, September 10 @ 01:21:11 MYT
Topic: Isu Semasa
YB. Tan Sri Ramli Ngah Talib Yang DiPertua,
Dewan Rakyat Parlimen Malaysia,
50680 Kuala Lumpur.
9 September 2007

YB. Tan Sri,
USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT PERKARA 18 (1)

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2), dengan ini diberikan notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

YB. Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan:

“Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan peristiwa keganasan polis pada 8 September 2007, di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu”

Tan Sri Yang diPertua,

Pada hari Sabtu 8 September 2007, lebih kurang jam 11.45 malam , seorang anggota polis yang tidak beruniform telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan dengan menggunakan dengan sengaja peluru hidup dan akibatnya dua orang awam telah mengalami kecederaan yang sangat seruis.

Mangsa pertama Encik Swandi bin Abd Ghani, 37 tahun telah menggalami kecederaan parah dan sehingga usul ini dikemukakan beliau telah dipindahkan daripada Hospital Besar Kuala Terengganu ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bahru, beliau masih dalam keadaan yang amat kritikal. Mangsa kedua, Encik Mohd Azman Bin Abd Aziz, 21 tahun juga mengalami kecedaraan parah dan masih dirawat di Hospital Besar KualaTerengganu.

Dewan yang mulia ini seharusnya diberikan peluang yang sebaiknya dan seadilnya untuk isu dan tragedi ini dibincang dan diperbahaskan secara terbuka agar keadilan dan maklumat sebenarnya dapat ditegakkan. Pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri perlu memperjelaskan kepada seluruh rakyak Malaysia kenapa peluru hidup perlu digunakan keatas orang awam yang tidak bersenjata.

Integriti pihak polis sangat–sangat dipersoalkan dalam peristiwa ini dimana seolah-olah budaya “trigger happay” diaplikasikan keatas orang awam tanpa memperhitungkan nyawa dan keselamatan awam.

Persoalannya, adakah penggunaan peluru hidup telah menjadi satu pendekataan baru pasukan Polis DiRaja Malaysia?. Tragedi hitam dan sedih ini tidak mungkin akan berlaku sekira pihak keselamatan memberikan keizinan (permit) kepada mana-mana pihak yang berhasrat ini menganjurkan perhimpunan aman sepertimana yang diperuntukan oleh perlembagaan Negara dan semangat demokrasi didalam Negara kita.


Saya mohon mencadang,

SALAHUDDIN HAJI AYUB

No comments: