Friday, September 28, 2007

Laporan Media Utama 280907





















The Star













Berita Harian

Kenyataan kelam kabut dan putar belit Ayub Yaakub ke KPN

Tarikh : Friday, September 28 @ 00:51:58 MYT



Setelah berhari-hari mengumpul fakta, kami membuat keputusan untuk menghantar fakta-fakta putar-belit kenyataan Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakub ke pengetahuan Ketua Polis Negara.Menerusi blog yang di cipta khas untuk mengumpul semua fakta yang berkaitan dengan tragedi penembakan anggota polis berpakaian preman terhadap orang awam, kami dapat mengumpul fakta-fakta khusus yang menjurus kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ayub Yaakob.


Selepas membuat temujanji dengan Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Vennuvalan, beliau bersetuju untuk bertemu kami pada 21hb Septeber 2007 pada jam 11 pagi.

Menurut penerangan yang BERSIH berikan, terdapat tiga insiden penting yang mepertikaikan kredibiliti dan sikap profesional Ketua Polis Terengganu berkaitan dengan tragedi tersebut.

Perkara Pertama: Bilangan Das Tembakan

Antara Laporan terawal yang dikeluarkan Malaysiakini menyebut:
Katanya, semasa terjatuh penyerang terbabit berterusan menyerang anggota itu sehingga terkena di bahagian kepala menyebabkan anggota itu terpaksa mengeluarkan senjata dan melepaskan satu das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.
Ayub berkata, tembakan itu berjaya menyuraikan kelompok lelaki yang menyerangnya dan anggota polis berkenaan mengambil kesempatan itu untuk menyelamatkan diri dengan pergi ke arah pasukan FRU yang berada di kawasan berhampiran.


Dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 10 September 2007:
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob pada sidang akhbar hari ini berkata, seorang polis berpangkat konstabel terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan dirinya setelah dipukul oleh 20 lelaki ketika dia mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn menyebabkan dua perusuh cedera


Dikekalkan kenyataan tersebut dalam laporan 11 September 2007:
Dalam kejadian pukul 9 malam kelmarin, kira-kira 750 orang dipercayai penyokong parti pembangkang merusuh dan menyerang polis selepas diarahkan bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud malam kelmarin.
Seorang konstabel polis terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahan diri setelah dipukul oleh 20 lelaki di tempat letak kereta Hotel Permai Inn menyebabkan dua perusuh terlibat cedera.


Tetapi bilangan tembakan 'dinaikkan jumlahnya' sebagaimana lapor Malaysiakini dalam edisi 11 September 2007 :
Anggota polis yang melepaskan tembakan ketika berlaku satu pergelutan di Kuala Terengganu malam Sabtu lalu, telah melepaskan empat das tembakan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mengesahkan perkara itu ketika dihubungi petang ini.
Dalam insiden seumpama ini, kenapa boleh wujud kecelaruan sebegini? Melainkan das tembakan tersebut dilepaskan oleh pistol yang mempunyai silencer, kami kira pasti orang awam dan saksi-saksi boleh mengecam berapa das tembakan yang dilepaskan.


Perkara Kedua: Identiti Penembak

Laporan Utusan Malaysia hari ini, 12 September 2007:
Dalam kejadian malam Sabtu lalu, perusuh dipercayai penyokong parti pembangkang merusuh selama kira-kira lima jam di Jalan Sultan Mahmud di sini sehingga menyebabkan kerugian harta benda awam mencecah RM500,000.
Dua lelaki yang berumur 21 dan 38 tahun cedera di leher dan bahu akibat ditembak oleh seorang anggota polis yang cuba mempertahankan diri selepas diserang oleh sekumpulan lelaki.
Seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Azmi Hussein, 29, juga luka di tangan akibat terkena kaca dalam rusuhan tersebut.


Tetapi lain pula kenyataan yang diberikan oleh CPO Terengganu kepada Malaysiakini pada 11 September 2007:
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mengesahkan perkara itu ketika dihubungi petang ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa anggota polis tersebut bukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Azmi Hussein, 29, seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Anggota polis yang dikatakan melepaskan tembakan tersebut selepas diserang 20 lelaki, dikenalpasti sebagai Wan Abdul Aziz, 25.
Dalam keadaan polis tersebut berpakaian preman dan bukan menggunakan perisai FRU yang boleh menyembunyikan identiti beliau, adalah satu perkara yang pelik sekiranya identiti sukar dikenalpasti.
Dan kalau itu bukan FRU, dari cawangan mana polis tersebut datang?


Perkara Ketiga: Kecederaan Pihak Polis

Lapor Utusan Malaysia, 10 September 2007:
Selain itu, tambah beliau, seorang anggota FRU dan seorang lagi perusuh turut dimasukkan ke hospital sama akibat kecederaan dipercayai terkena kaca dan batu.


Dalam The Star 11 September 2007 dikatakan ada alat tambahan, iaitu kayu:
About 20 men armed with sharp weapons and sticks then spotted Kons Azmi and shouted "This man is Special Branch!" before assaulting him.
SAC Ayub said Kons Azmi, 29, was beaten until he collapsed, bleeding from the head.


Tetapi sedikit berbeza dalam Utusan Malaysia hari ini, 12 September 2007:
Empat anggota polis termasuk tiga daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), cedera diserang dan dibaling termasuk dengan bom api, dipercayai oleh penyokong parti pembangkang
Kenapa secara tiba-tiba datang 'bom api' sebagai bahan yang digunakan ke atas pihak polis?
Ini sekadar satu kekeliruan, dan pastinya ia menuntut penjelasan.



BERSIH mendesak agar Datuk Ayub Yaakob:
1. Bersikap professional dalam tugas beliau dan bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan.

2. Dipersoalkan oleh pegawai polis peringkat tertinggi mengenai sikap beliau yang bertukar-tukar fakta.

3. Tidak mengulangi perbuatan yang sering menukar fakta dalam kenyataan beliau.

Thursday, September 27, 2007

Peluru Hidup : Lapuran polis tidak tepat

Date: Wednesday, September 26 @ 00:19:43 MYTTopic: Berita Online
Oleh Awang Harun


KUALA TERENGGANU: Insiden berdarah pada malam 8 September lalu di Batu Burok perlu ditubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat secara telus dan adil.PAS mahukan agar satu Suruhanjaya Diraja yang bebas yang mempunyai kuasa menyiasat perkara sebenar sehingga berlakunya tragedi tersebut. Umno, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Polis masing-masing menyalahkan PAS serta parti pembangkang melalui laporan yang ‘berat sebelah’ oleh pihak media arus perdana. Kini, tumpuan lebih diberikan terhadap satu ‘lakonan’ perusuh yang bertopi keledar sedang membakar bendera Jalur Gemilang pada malam berlakunya rusuhan itu.Buletinonline berpeluang menemui seorang saksi kejadian yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat dua orang awam itu ditembak oleh pihak Polis pada malam tersebut.


OSMAN….laporan fakta tipu 200 peratus Encik Osman Ismail, 49, dari Kampung Nibong menyifatkan dakwaan serta laporan akhbar berhubung kejadian orang awam ditembak kerana 20 pemuda menyerang anggota Polis itu tidak tepat. Katanya, laporan akhbar tidak tepat malah jauh menyeleweng dari apa yang dilihat oleh saksi-saksi pada malam itu.“Saya berani kata fakta ‘tipu’ 200 peratus kerana saya sendiri lihat kejadian itu berlaku depan mata tidak jauh dari saya, “Adalah, 4 hingga lima orang yang sedang bertengkar mulut dengan Polis berpakaian preman dan ketika pegawai itu lari dia melepaskan tembak rambang,” jelasnya kepada Harakah, baru-baru ini. Nasib baik, katanya tidak terkena peluru ‘sesat’ yang dilepaskan oleh anggota Polis tersebut secara ‘membabi-buta’.Menurutnya, anggota Polis yang melepaskan tembakan itu dikira telah terselamat kerana lari ke arah anggota FRU dengan jarak 50 meter sahaja. Katanya, tujuan anggota Polis itu melepaskan tembakan memang dengan niat jahat dan bukan kerana mempertahankan diri seperti yang dilaporkan.“Saya orang yang sudah berumur dan hanya datang untuk melihat keadaan orang ramai berhimpun kerana disekat laluan ke tempat ceramah, “Rakyat datang ramai bukan untuk merusuh tetapi untuk dengar ceramah dan Polis yang mulakan kekasaran kepada orang awam,” ujarnya. Manakala, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata laporan media kononnya anggota Polis itu ‘diserang’ dan terpaksa melepas tembakan kerana mahu menyelamatkan diri ‘bohong’. Katanya, anggota Polis itu tidak diserang secara bertubi-tubi oleh orang ramai dan hanya berlaku pertengkaran mulut biasa.“Semasa seorang anggota Polis itu bertengkar dengan beberapa orang pemuda dia telah ‘diacah’ akan dipukul, “Semasa Polis itu lari menyelamatkan diri ke arah anggota FRU dengan jarak tidak jauh dia telah melepaskan beberapa das tembakan sambil berlari,” ujarnya.Menurutnya, laporan media yang dibuat tidak tepat serta bersifat ‘bohong’ hanya untuk kepentingan anggota Polis terbabit.

Batu Burok: Provokasi untuk aibkan PAS

Awang Harun Tue Sep 25, 07 11:47:39 am MYT

Insiden Batu Burok dilaporkan secara berat sebelah oleh akhbar arus perdana. Misalnya, sidang media Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Mustafa Ali, bagi menerangkan kejadian itu sengaja digelapkan. Bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci wartawan Harakahdaily, Awang Harun mewawancara Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Marang. .
Harakahdaily: Apakah Dato Seri Tuan Guru menjangka perkara tersebut akan berlaku?
Ustaz Abdul Hadi: Saya tidak jangka berlaku dan saya dimaklumkan pada awalnya saya juga berceramah di situ (Batu Burok) tetapi bertembung dengan program Dato Seri Anwar Ibrahim di Bagan Serai dan saya pilih untuk ke Bagan Serai.
Dimaklumkan permohonan telah diminta dengan polis lebih kurang satu minggu atau lebih daripada lima hari. Kami tidak mendapat jawapan melainkan pada hari Khamis. Hari Jumaat dan Sabtu cuti jadi bagaimana hendak buat rayuan sedangkan iklan sudah disebar ke seluruh negeri dan tidak mudah untuk tarik balik iklan dan hendak batal.
Kita (PAS) bukan ada TV sendiri, bukan ada media yang masuk ke tiap-tiap buah rumah. Sebab itu, untuk membatalkan ceramah serta-merta tidak mudah. Maka ceramah diteruskan. Saya dimaklumkan bahawa, saat-saat akhir barulah dimaklum bahawa pihak polis tidak memberi kebenaran. Penceramah sudah datang dan orang ramai sudah berhimpun dan polis telah membuat sekatan di tempat yang jauh dari tempat ceramah itu.
Perundingan dibuat oleh pihak PAS, pihak Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dan kemudian kita dibenarkan masuk ke kawasan rumah ceramah untuk memaklumkan kepada tuan rumah (Haji Ahmad Salleh) apa yang berlaku. Saya dimaklumkan bahawa, dalam rumah itu telah dibuat keputusan ceramah dibatalkan. Tetapi kekecohan telah berlaku di luar dan saya rasa tidak patut perkara ini berlaku antara pihak PAS dengan polis. Saya yakin di sana ada pihak ketiga (Umno). Pihak ketiga yang merancang untuk menimbulkan satu keadaan supaya mereka dapat mengambil kesempatan.
Pihak ketika ini pihak Umnolah, saya yakin dan selepas itu kita mendapat maklumat dan saksi-saksi yang bersedia untuk memberi keterangan bahawa di sana ada suatu perancangan dibuat untuk menimbulkan kekecohan supaya dapat dijadikan suatu isu. Saya jangka memang mereka (Umno) akan membuat sesuatu kerana mereka cemas dengan Perhimpunan PAS negeri yang diadakan baru-baru ini di sini (Rusila).
Puluhan ribu manusia datang ke Ijtimak Pilihan Raya PAS Terengganu yang membanjiri kawasan kehingga kesesakkan jalan raya beberapa kilometer. Sebab itu, mereka cemas dan pada majlis yang berikutnya iaitu ceramah Bersih dijadikan sasaran untuk merancang sesuatu.
Apa yang mendukacitakan, mereka (Umno) melibatkan sebahagian daripada anggota polis. Mereka (Umno) perlu tahu bukan semua polis menyokong Barisan Nasional (BN) dan bukan semua polis itu atas pagar dan ada polis yang menyokong PAS. Maka, kita (PAS) mudah untuk dapat maklumat. Mereka jangan sembunyi kerana hari ini penyokong-penyokong PAS dan ahli PAS berada dalam semua agensi kerajaan, di samping meluas di kalangan rakyat.
Kita juga mendapat maklumat awal bahawa satu provokasi akan dibuat dan pihak yang melakukan provokasi memakai 'reben' di lengannya untuk berada di tengah-tengah orang ramai. Kita meminta supaya kalangan PAS jangan memulakan apa-apa kekecohan. Kita (PAS) melatih orang kita dengan sebegitu rupa. Saya juga dimaklumkan, timbul kekecohan itu kerana ada seorang dan beberapa orang yang duduk di dalam kumpulan orang ramai dengan mengeluarkan kata-kata yang berbentuk provokasi. Orang kenal dia sebab memakai tanda di lengan. Ini menyebabkan, orang muda menyerbu dan dia (polis) lari lalu menembak secara rambang dan kena peluru. Tiba-tiba didapati peluru 'hidup', peluru betul-betul dan bukan peluru getah.
Saya pergi ke hospital dan mendapat maklumat itu peluru betul. Dan pihak polis meminta supaya peluru itu diserah kepadanya. Doktor tidak mahu beri pada awalnya tetapi kerana desakan maka peluru itu diserah setelah doktor menulis untuk direkodkan. Begitu juga dengan seorang lagi mangsa tembak yang dirawat di Hospital Universiti Kubang Kerian. Saya dimaklumkan pihak polis juga meminta peluru itu setelah dibuat pembedahan dan pihak sana tidak benarkan.
Namun begitu, sehingga kini peluru itu disimpan di Hospital Kubang Kerian. Kemudian saya juga mendapat maklumat dan memang alhamdulillah, boleh mengawal keadaan polis berundur dan pemuda-pemuda kita juga berundur, keadaan tenang berlaku. Setelah kita berundur datang satu pasukan lain yang membuat kacau dan memusnahkan harta awam.
Kemudian datang orang yang bawa bendera dan bakar bendera. Anggota polis yang datang hanya memerhati dan tidak mengambil apa-apa tindakan. Kenapa mereka tidak mengambil tindakan masa itu. Ini yang menimbulkan kesangsian kita terhadap polis, menimbulkan hilang kepercayaan terhadap Polis. Oleh kerana itu, saya bersetuju supaya ditubuhkan pasukan penyiasat bebas iaitu Suruhanjaya Diraja 'direct'(terus) di bawah Raja-raja yang tidak terlibat dengan politik yang ada 'power'(kuasa) yang lebih sedikit supaya boleh membuat penyiasatan bebas dan polis jangan membuat tanggapan sewenang-wenangnya memilih orang PAS. Ini boleh menimbulkan kemarahan orang-orang PAS terhadap polis.
Kita tidak mahu perkara ini dibangkit dan kita mengawal bahawa pertembungan kita dengan Umno/Barisan Nasional (BN) dan bukannya polis. Malangnya, pihak BN menggunakan polis, media yang dikuasai oleh mereka dengan meluas dan kita semua tahu bahawa dasar media di negara kita tidak demokratik. Perdana Menteri pula tidak menjadi orang pertama dalam negara.
Maknanya orang yang paling berkuasalah?
Ya, orang yang paling berkuasa, mengeluarkan kenyataan yang bijak tetapi mengeluarkan kenyataan sama dengan ahli cawangan terus melemparkan tuduhan secara politik murahan dan terus menuding jari kepada PAS kononnya untuk menuduh PAS tidak buat apa-apa dalam masa pemerintahan dia (PAS). Ini untuk mereka yang macam katak di bawah tempurung, yang tidak pernah datang ke Terengganu. Bagi rakyat Terengganu ini boleh memantapkan lagi mereka, insya-Allah. Kenyataan itu mendedahkan lagi keperibadian pemimpin kerajaan dan Presiden Umno.
Kita akan terus mengadakan ceramah umum yang merupakan media kita untuk memberi penjelasan berkait dengan perkara yang berlaku dan saya percaya Umno akan mengulangi untuk memutarkan filem terutamanya pada masa pilihan raya dan akan ditambah dengan pelakon-pelakon tambahan untuk memberi impak kepada mereka secara murah. Saya yakin dan percaya organisasi Bersih akan meneruskan perjuangan untuk memulihkan demokrasi. Semua program akan dilaksanakan mengikut jadual diatur.
Apabila telah telah begitu, apakah PAS atau Bersih akan terus mengadakan ceramah-ceramahnya pada masa akan datang?
Ya, ceramah akan diteruskan. Peristiwa itu akan menambahkan lagi sokongan kepada PAS terutamanya penduduk di sekitar kawasan kejadian itu.
Setakat ini bagaimana hubungan PAS dengan pihak polis?
Sebenarnya, sebelum ini, lebih kurang dua hingga tiga minggu lalu satu pertemuan telah diadakan di antara kepimpinan PAS negeri dengan Ketua Polis Negeri. Perbincangan secara mesra dan persaudaraan berlaku dengan sebaik-baiknya dan kita (PAS) mendapat kerjasama yang baik daripada polis dalam semua majlis yang diatur selepas itu. Oleh kerana itu, saya yakin bahawa peristiwa yang berlaku di Batu Burok itu dirancang secara berasingan dan kita (PAS) mendapat maklumat termasuk daripada polis yang menyokong kita dan daripada kalangan-kalangan pihak lain.
Oleh kerana itu, kita minta suatu siasatan bebas dilakukan sebagaimana yang saya cadangkan supaya dapat menjernih hubungan antara PAS dengan polis. Dan mendedahkan dalang yang sebenar di sebalik peristiwa itu dan tindakan perlu diambil terhadap polis yang terlibat termasuk yang menggunakan peluru hidup.
Sepatutnya, yang menggunakan peluru hidup itulah yang diambil tindakan ditahan reman. Ini yang kena peluru ditahan reman dan digari di hospital. Ini suatu perkara yang tidak betul mengikut peraturan. Saya yang melihat undang-undang dari jauh, tidak terperinci pun menyedari itu suatu tidakan yang tidak betul.
Dato Seri kata hendak jumpa polis untuk menjernihkan keadaan. Bila itu?
Kita bersedia dan saya cadangkan supaya perjumpaan diadakan dan kita (PAS) telah menghantar surat kepada KPN (Ketua Polis Negara) sejak beberapa bulan lalu untuk berjumpa dan tidak ada jawapan sehingga hari ini. Saya percaya di sana ada gangguan politik termasuk dalam institusi polis sendiri.
Maknanya hubungan antara PAS dengan Polis Terengganu tidak ada masalah?
Ya, kecuali selepas peristiwa Batu Burok. Kalangan bawah yang tidak faham ini yang membimbangkan kita, bukan sahaja PAS termasuk rakyat, termasuk mereka yang ada rumah di sekitar Batu Burok ini. Kena gas pemedih mata dan masuk dalam rumah orang, kena anak isteri yang bukan orang PAS. Saya dimaklumkan, reaksi terhadap polis pada malam itu bukan sahaja melibatkan penyokong PAS juga melibatkan penduduk sekitar. Orang ramai marah dan ini suatu keadaan yang tidak baiklah kepada negara. Jangan menuding jari kepada PAS tetapi rakyat di kawasan Batu Burok. Gas masuk dalam rumah dia (penduduk), anak-anak sedang tidur.
Boleh kita kata tindakan tersebut sangat keterlaluan, Dato Seri?
Ya, Saya dimaklumkan polis kalau dia hendak bertindak pun ada peraturannya termasuklah guna peluru hidup pun ada peraturannya, ada cara hendak guna peluru hidup itu. Saya tidak mahulah direka-reka dan dilakonkan tangkap orang sana, tangkap orang sini dan buat satu senario yang direka.
Tadi Dato Seri kata ada campur tangan Umno. Ini baru atau sudah lama?
Ya, saya dapat maklumat itu. Saya dimaklumkan sebelum itu ada bukti-bukti yang menunjukkan satu perancangan yang ditaja oleh pimpinan Umno dan termasuk yang duduk di Kementerian Dalam Negeri (KDN). Dalam hak ini saya minta rujuk kepada kenyataan Dato' Mustafa Ali.
Jadi kalau perkara ini berlaku dan agak membimbangkan macam mana cara untuk kita membendungnya?
Caranya, media jangan memainkan isu ini untuk kepentingan Umno. Kalau media memainkan isu ini untuk kepentingan Umno kita (PAS) akan lawan. Sebagaimana saya sebut dalam ucapan saya, kita (PAS) adalah parti Islam yang ada maruah yang tidak menyerah kalah kepada kezaliman.
Kezaliman itu bukan sahaja menyalahgunakan gas pemedih mata dan peluru hidup termasuklah kezaliman media. Kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS tidak keluar dan tidak sampai dua peratus yang disiarkan oleh media. Kenyataan Dato Mustafa Ali di Kuala Lumpur, kenyataan dia di Kuala Terengganu yang dihadiri oleh pihak media termasuk TV yang dikuasai oleh kerajaan, surat khabar arus perdana. Mereka tidak siar kenyataan itu. Ini suatu kezaliman dan saya dimaklumkan media di Singapura menyiarkan. Singapura bersempadan dengan Johor dan orang Johor boleh baca dan boleh melihatnya. Cukuplah 'kita'(kerajaan) membodohkan rakyat dengan mengawal media dengan cara yang tidak betul.
Membodohkan rakyat dan memaksa wartawan supaya mencari maklumat dan setelah diberi maklumat itu tidak disiarkan. Saya percaya wartawan-wartawan yang hadir pada sidang akhbar itu, mereka melaporkan semua tetapi apabila sampai kepada ketua-ketua mereka ini dikuasai di kalangan orang politik. Jadi tidak kenalah mereka ambil berita dan siarnya hanya dua peratus. Manakala, 98 peratus lagi dihilangkan macam mana hendak mendapat penyelesaian.
Apa akan berlaku jika pihak polis atau Umno atau kerajaan memburukkan PAS dengan membuat provokasi macam itu?
Kita yakin dan percaya pengaruh kita akan berkembang kerana kita yakin rakyat tidak boleh ditipu selama-lamanya. Terutama pengundi-pengundi yang muda dan terpelajar yang boleh berfikir. Kita (PAS) tidak mahu demokrasi secara murahan, kita mahu demokrasi yang betul.
Kita tidak mahu kerajaan dijatuhkan dengan cara yang tidak bermoral. Apabila kerajaan buat tidak bermoral dia akan jatuh dengan cara yang memalukan. Macam Suharto di Indonesia dan Marcos di Filipina. Mereka hendak bertahan lama mana. Kita orang Islam diajar semua kerajaan dalam dunia mempunyai ajal masing-masing. Kita mahu mati dengan cara betul bukan mati dengan cara 'kaki lima'.
Dato' Seri, jika berterusan ditindas dan dibuat macam-macam. Apakah kesudahannya?
Itu kita kena tunggulah. Kena tunggu apa yang akan berlaku. Saya tidak boleh ulas hendak buat apa tindak balas kita. Kita tunggu apa tindakan dia dahulu.
Boleh kita kata PAS sudah matang dalam perkara-perkara macam ini?
Ya, PAS sudah matang dalam masa 50 tahun lebih kita (PAS) (wujud). Zaman Tunku Abdul Rahman berlakunya darurat berlakunya konfrontasi dengan Indonesia. Walau pun orang PAS menjadi mangsa kita menghadapi dengan matang. Peristiwa 13 Mei juga kita matang. Pada masa berlaku 13 Mei, di negeri-negeri yang kuat PAS, tidak berlaku tragedi itu. Kaum Cina, kaum India boleh hidup aman seperti di negeri yang PAS perintah di Kelantan dan kawasan-kawasan yang dikuasai oleh PAS di seluruh negara.
Rusuhan berlaku di kawasan Umno sahaja tetapi media tidak siar perkara ini. Kita juga matang dalam menghadapi peristiwa darurat di Kelantan. Apabila dilakonkan satu rusuhan tahun 1978 dan saya rasa apa yang berlaku di Batu Burok malam itu lebih teruk daripada apa yang berlaku di Kelantan dan diisytiharkan darurat. Apabila tempat jual surat khabar dibakar dan terus diisytiharkan darurat.
Kerajaan negeri dibubarkan semasa PAS memerintah tahun 1978. PAS matang menghadapi walau pun kita ditewaskan dengan tinggal dua kerusi sahaja di Kelantan iaitu Parlimen tinggal satu kerusi dan menerima pukulan di seluruh negara begitu rupa, kita bertindak dengan cara yang baik.
Maknanya, PAS tidak bertindak di luar batas undang-undang?
PAS tidak bertindak di luar undang-undang dan PAS juga tidak menyerah kalah dengan undang-undang yang zalim.
Apakah iktibar yang boleh kita ambil daripada kes ini?
Iktibarnya, di sana ada jentera-jentera Barisan Nasional yang bertindak dengan cara yang tidak demokratik. Dan mereka (Umno) menggunakan jentera kerajaan untuk menimbulkan sesuatu yang dia fikir boleh menguntungkan mereka. Perkara ini akan kita (PAS) dedahkan dan dalam masa yang sama mereka juga perlu mengambil iktibar bahawa orang-orang PAS tidak boleh ditundukkan dengan peluru hidup.
Adakah ini bermakna PAS sedia menghadapi apa sahaja, termasuk PAS tidak boleh ditundukkan dengan peluru hidup?
Ya, jika Barisan Nasional memilih cara 'dictatorship', menghapuskan demokrasi, PAS akan meneruskan perjuangan untuk menentang dictatorship. Selagi ada ruang demokrasi kita (PAS) melalui saluran demokrasi. PAS macam parti-parti Islam di seluruh dunia yang tidak boleh dikalahkan termasuk pada zaman Komunis di negara Komunis Soviet Union (kini Rusia).
Dan dunia boleh melihat bagaimana kebangkitan Islam muncul dengan subur di Soviet Union walau pun ditekan dengan begitu rupa pada zaman Komunis. Patutnya, Umno mesti belajar daripadanya. Kita pilih demokrasi dan kita berjuang untuk pulihkan demokrasi. Umno ini dia hendak matikan demokrasi. Apabila kuasa dia terjejas dia hendak matikan demokrasi kerana hendak terus berkuasa dan dia kena ingat dia boleh terus berkuasa walaupun dia matikan demokrasi.
Apakah nasihat Dato Seri kepada pihak pasukan keselamatan (polis)?
Saya melihat dan harap pihak keselamatan mesti bekerja dengan cara profesional dan jangan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir politik yang tidak demokratik. Saya rasa cukup dengan peristiwa pihak keselamatan dimalukan dengan isu rasuah. Pada hal rasuah ini melibatkan Umno, melibatkan semua jabatan dan bukan sahaja keselamatan. Mereka dimalukan dengan isu rasuah dan mereka sanggup jadi alat itu sangat malanglah. Mereka digula-gulakan dengan elaun semasa pilihan raya, kenaikan itu kenaikan ini.
Tadi Dato Seri kata ramai penyokong PAS berada dalam semua jabatan kerajaan, ramai atau sedikit itu?
Ini dapat dilihat sendiri apabila mereka bersara. Apbila bersara mereka jadi pemimpin PAS atau pun orang tahu apabila mereka meninggal dunia seperti Allahyarham Aminuddin Baki, Profesor Engku Omar, Profesor Ahmad Ibrahim dan sebagainya. Dan yang masih hidup seperti Jeneral Sani, Jeneral Zakaria Dahlan dan beberapa pegawai polis dari Bukit Aman yang menyertai PAS apabila mereka bersara. Ketika belum bersara mereka bekerja secara profesional dan mereka adalah orang yang bersih tidak terlibat dengan rasuah. Mereka bekerja dengan betul dan kita nasihatkan ahli-ahli kita yang masih bekerja di jabatan kerajaan bekerja dengan betul dengan cara yang profesional macam Dato Mohd Amir bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN). - lanh

Tuesday, September 25, 2007

Polis usah jadi budak suruhan Umno - tegur Mohd Sabu


Awang Harun Mon Sep 24, 07 9:16:12 am MYT

KUALA NERUS, 24 Sept (Hrkh)- Pasukan keselamatan, terutamanya Polis merupakan kakitangan serta pegawai kerajaan kepada kerajaan yang memerintah dan perlu bertindak secara profesional.
Polis juga bukan musuh kepada mana-mana parti pembangkang bahkan perlu mewujudkan kerjasama dan toleransi antara kedua-dua pihak.Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pihak polis perlu bertindak secara profesional agar tidak mudah diperalatkan oleh parti pemerintah.Katanya, polis usah bertindak seperti pemuda Umno kerana pasukan keselamatan itu bukan ‘musuh’ PAS.“Polis jangan jadi pemuda Umno kerana kami (PAS) bukan lawan polis tetapi kami lawan Umno.“Hentilah jadi ‘barua’ Umno dan bertindak secara professional sebagai pegawai kerajaan,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Penjelasan Isu Tragedi Batu Burok, di Padang Bola Batu Enam, baru-baru ini,

Menurut Mohamad, polis merupakan pegawai kerajaan dan jika PAS berjaya memerintah negara ini pun polis yang sama digunapakainya.Oleh itu, katanya jika polis masih bertindak seperti ‘budak’ suruhan Umno masalah keselamatan tidak akan selesai.

Pada 8 September lalu, pihak pasukan keselamatan bertindak agresif ketika membatalkan ceramah Bersih sehingga berlaku provokasi serta menyebabkan dua orang awam cedera parah ditembak dengan peluru hidup oleh polis.PAS boleh menang dengan demokrasiSementara itu dalam ceramahnya di Kemaman, Naib Presiden PAS itu menegaskan, PAS boleh memenangi pilihan raya dengan mudah jika negara mengamalkan demokrasi tulin.Ini kerana, katanya demokrasi tulin memberi kebebasan kepada rakyat berfikir, memilih serta menentukan kerajaan yang dikehendaki bagi memerintah negara.“Secara demokrasi Islam boleh mencapai kemenangan jika diberi ruang dan peluang secara bebas, adil dan telus.“Kita memilih cara demokrasi. PAS pilih cara itu untuk berjuang hingga mencapai matlamat kita,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penjelasan Isu Tragedi 8 September Batu Burok, di perkarangan Pasti Mak Cili, Chukai Kemaman.Katanya, golongan Islam boleh mencapai kemenangan dengan demokrasi jika dilaksanakan secara adil dan tulin.Menurutnya, kejayaan tersebut telah dibuktikan di Palestin, Acheh, Mesir dan yang terakhir di negara sekular Turki.Bahkan, katanya di Malaysia jika ada demokrasi sebenar pun boleh mencapai kemenangan dengan mudah.Beliau menjelaskan selepas tahun 1969 amalan demokrasi tulin mula rosak serta terhakis di negara ini.Katanya, demokrasi rosak dengan akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ‘Aku Janji’.“Akta OSA penting bagi melindungi rahsia kerajaan tetapi telah disalahgunakan oleh para pemimpin Umno.“Kita lihat Akta OSA digunakan untuk melindungi rasuah pemimpin-pemimpin Umno seperti Rafidah Aziz dan ramai lagi,” jelasnya.Menurutnya, Bersih ditubuhkan bagi membersih serta menyelamatkan amalan demokrasi daripada terus ‘rosak’ dan ‘mati’ di negara ini. - mr

Presiden PAS kunjungi mangsa tembakan Batu Buruk



Awang Harun & Azamin Amin Foto Awang Harun Sun Sep 23, 07 10:43:54 am MYT
MARANG, 23 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang meluangkan masa hampir 30 minit menziarahi mangsa tembakan peluru hidup,Suwandi Abdul Ghani, 38, dalam tragedi 8 September di Batu Buruk, Kuala Terengganu baru-baru ini

Beliau berada di rumah Suwandi bagi mendengar sendiri cerita sebenar pada malam kejadian itu.
Turut tercedera akibat tembakan polis ialah Muhamad Azman Aziz, 21, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Suwandi yang cedera parah telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mengeluarkan peluru ditubuhnya manakala Muhamad Azman yang terkena tembakan pada bahagian leher dan bahu menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Lebih menyedihkan, kedua-dua mangsa terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Difahamkan seorang anggota Polis berpangkat konstabel dari Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Abdul Aziz Wan Omar mengaku telah melepaskan tembakan tersebut sebagaimana laporan Polis yang dibuatnya.
Manakala, empat anggota FRU yang sekadar cedera ringan iaitu Che Malek Jusoh, Chandran a/l Shammugam, Mohd Imran Ismail dan Azmi Husin menerima rawatan sebagai pesakit luar dalam kejadian tersebut.
Kejadian berdarah dan tembakan peluru hidup di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menimbulkan pelbagai persoalan yang wajar dijawab segera kepada rakyat jelata tentang kewibawaan serta intergriti Polis Diraja Malaysia dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam selama ini.
Justeru, selain amarah rakyat termasuk kecaman pelbagai pihak, parti politik dan NGO terhadap insiden yang berlaku, PAS telah memanjangkan bantahan dan kecaman terhadap PDRM di Bukit Aman minggu lalu.
Turut hadir menyampai memo bantahan di atas kejadian itu kepada seorang pegawai polis di luar pekarangan Bukit Aman ialah Naib Presiden PAS Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub; Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dengan di saksikan lebih 50 hadirin yang terdiri daripada penyokong pelbagai parti politik.
Hadir sama ialah Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar dan Ketua Penerangan KeADILan TIan Chua.
Antara lain isi kandungan bantahan tersebut ialah mempersoalkan kewajaran polis menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan aman malah lebih buruk lagi menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua tercedera parah.
"Kita menggesa satu Suruhanjaya Bebas Diraja bagi mengenal pasti dan menyiasat punca kejadian. Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan kasar polis terhadap orang awam yang hadir untuk mendengar ceramah yang telah dibatalkan," kata Salahudin yang turut kecewa dengan dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap parti pembangkang yang selama ini sering kali dilabel tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini,Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menganjur program pada malam kejadian berdarah itu berpendirian bahawa polis telah melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air ke arah orang awam yang sedang berhimpun sedangkan ceramah pada malam itu telah pun dibatalkan.
Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, demikian menurut kenyataan media Bersih.
Dalam pada itu, Bersih juga turut menuntut antara lainnya ialah supaya pihak Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka sehingga mengakibat insiden yang tidak diingini berlaku.
Malah Bersih menggesa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini. - mks.

Insiden Batu Buruk, polis diselar kerana buru 37 orang semata-mata



Azamin Amin Sun Sep 23, 07 1:02:55 pm MYT
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Hrkh) - Tindakan polis Terengganu melancarkan operasi mencari 37 individu dipercayai terlibat dengan rusuhan dan membakar Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Buruk pada malam 8 September lepas, diselar kerana bersikap terpilih dalam menjalankan siasatannya

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dato' Ustaz Abu Bakar Chik berkata beliau merasa sangsi dengan motif bersungguh-sungguh dan tujuan polis memburu hanya 37 orang semata-mata sedangkan pada malam kejadian itu terdapat ribuan orang yang hadir sama dan turut menjadi saksi 'kekecohan' yang berlaku.
"Mengapa pilih-pilih gambar tertentu sahaja, ada yang berusia 70 tahun dan ada yang muda. Pada malam itu bukan hanya 37 orang ini sahaja malah ribuan yang hadir.Ini semua perancangan yang nak menakut-nakutkan rakyat semata-mata," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Ini semua main tangkap rambang sahaja sehingga orang yang tak ada jari pun turut ditangkap dan dituduh membaling batu," katanya merujuk pendedahan Harakah keluaran terbaru berhubung isu Batu Buruk.
Beliau yang kesal dengan sikap polis yang dilihat cenderung untuk menuduh pembangkang dalam isu ini sedangkan yang turut mencetuskan suasana provokasi itu adalah pihak polis sehingga melepaskan tembakan peluru hidup kepada dua orang yang hadir pada mala itu, Suwandi Abdul Ghani, 38 dan Muhamad Azman Aziz, 21.
Suwandi yang cedera parah telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mengeluarkan peluru di tubuhnya manakala Muhamad Azman yang terkena tembakan pada bahagian leher dan bahu menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Lebih mengejutkan, kedua-dua mangsa terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Difahamkan seorang anggota polis berpangkat konstabel dari Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Abdul Aziz Wan Omar mengaku telah melepaskan tembakan tersebut sebagaimana laporan polis yang dibuatnya.
"Sepatutnya polis mesti melakukan siasatan menyeluruh terhadap penembak dan pengacu pistol yang terdiri daripada polis sendiri.
"Jika orang awam sahaja disabitkan tetapi polis tidak dikenakan tindakan dan siasatan, orang tidak akan menghormati polis lagi selepas ini dan akan lebih menjejaskan kredibiliti polis yang sudah lama tercalar sebelum ini," kata Ustaz Abu Bakar lagi.
Selain itu, beliau juga berpandangan tindakan dan operasi memburu polis ini dilihat mahu menjadikan PAS sebagai 'kambing hitam' di samping mahu menutup kisah sebenar kejadian pada malam itu yang turut didakwa sebelum ini didalangi oleh Umno Terengganu sendiri. - mks.

Utusan, Berita Harian 20/09/2007