Wan Nordin Wan Yaacob Foto Nasir Sudin
Thu Sep 13, 07 01:46:37 PM
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Hrkh) - "Sampai saya di tempat ceramah kira-kira jam 10.00, saya disekat 300 meter dari tempat ceramah. Seorang polis dalam gelap cerah dia datang dan kata mana dia orang yang bajunya koyak. Polis itu dengan pistol di tangan," kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Naib Presiden PAS itu berkata demikian ketika menceritakan detik-detik cemas semasa kejadian 'tragedi berdarah' di Batu Buruk Kuala Terengganu pada 8 September lalu ketika ditemui di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Beliau ditemui semasa menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan memorandum tuntutan dan aduan Bersih berhubung insiden di Batu Buruk.
Turut hadir ialah, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad; AJK PAS Pusat yang juga bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad; AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok Suih Sim; Pegawai Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; wakil Suaram, Yap Swee Seng dan beberapa pimpinan NGO lain.
Suhakam pula diwakili oleh Pesuruhjayanya, Dato' N. Sivasubramaniam dan Penasihat Undang-Undang Suhakam, Norita Azmi.
Bercerita lanjut mengenai kejadian itu Mohamad Sabu berkata, ketika mengejar pemuda tersebut, polis berpakaian preman itu tidak sedar akan kehadiran beliau dan beberapa penceramah lain yang turut disekat di kawasan itu.
Menurut Mohamad Sabu, selepas itu polis itu pergi ke dalam kumpulan polis dan kemudiannya Mohamad mendekati kumpulan polis itu untuk mencari anggota polis yang memegang pistol tersebut.
"Saya tengking dia, saya kata ooo ... bawa pistol ke nak bunuh orang. Baru mereka sedar itu suara saya dan kenal saya Encik Mohamad Sabu.Polis tadi itu hilang dalam 'crowd' polis itu," katanya.
Menurutnya, tindakan anggota polis itu mengejar orang awam dengan menggunakan pistol di tangan bermula pada jam 10.00 malam lagi sebelum berlakunya kekecohan.
"Ertinya dia (anggota polis) bukan nak mempertahankan diri kerana nyawa terancam atau apa sahaja. Sama ada orang itu (anggota polis) yang menembak pada insiden berikutnya saya tak tahulah," katanya.
Semasa ditanya mengenai bagaimana beliau merasakan bahawa anggota polis tersebut ada niat untuk berbuat sesuatu terhadap pemuda itu Mohamad Sabu berkata, tindakan memegang pistol di tangan semasa mengejar orang awam itu adalah satu yang dicurigai.
"Drama kejar mengejar itu bermula sejak jam 10.00 lagi, dan bukannya dia bertindak untuk mempertahankan diri," katanya.
Sehubungan dengan dakwaan itu Mohamad Sabu sendiri bersedia menjadi saksi jika Suhakam mengadakan siasatan awam (Public Inquiries) seperti yang dituntut oleh Bersih dalam memorandumnya hari ini.
Sementara itu, semasa dialog dengan Suhakam, Mohamad Sabu mahu Suhakam berfungsi bukan sekadar menerima laporan tetapi memastikan tindakan dibuat ke atas pihak yang melakukan provokasi sehingga tercetusnya insiden pada malam itu.
Dalam pada itu, Bersih dalam memorandumnya kepada Suhakam sebelum itu menyatakan secara terperinci insiden yang berlaku semasa ceramah anjuran Bersih di Batu Buruk pada 8 September lalu.
Menurut jurucakap Bersih, Sivarasa Rasiah kejadian itu benar-benar menunjukkan satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis yang sebenarnya tidak disiarkan media-media arus perdana.
Sebaliknya media arus perdana hanya mengeluarkan kenyataan pemimpin kerajaan, Umno dan polis yang kebanyakannya tidak benar berhubung kejadian sebenar.
Pihak penganjur katanya telah membuat permohonan permit bagi menganjurkan ceramah itu kepada polis pada 30 Ogos lalu, namun polis pada 6 September lalu telah menolak permohonan itu atas alasan yang tidak munasabah.
Antara alasan polis ialah, kawasan ceramah adalah ditempat perumahan awam, berhampiran dengan istana dan dibimbangi akan membuatkan fasiliti awam musnah, kata Sivarasa.
"Alasan ini tidak rasional langsung memandangkan kawasan tersebut adalah hak persendirian dan beberapa kali sejak tahun 1990 lalu ceramah telah dianjurkan di situ," katanya.
Dengan alasan itu Bersih melihat ianya telah menunjukkan niat pihak keselamatan untuk menggagalkan ceramah tersebut, katanya.
Selain itu fakta-fakta yang dikemukakan oleh Ketua Polis Terengganu, Dato' Ayob dalam beberapa akhbar arus perdana didapati bercanggah, katanya.
Antaranya fakta mengenai peluru hidup yang dilepaskan oleh anggota polis semasa menembak orang awam, antaranya ada dua versi berbeza satu melaporkan dua butir dan satu lagi empat butir peluru.
Sementara dalam satu akhbar lain, Dato' Ayob didakwa menyatakan polis telah membuat tembakan ke arah udara untuk memberi amaran, kata Sivarasa yang juga seorang peguam.
Katanya lagi, polis juga telah menahan 23 orang awam termasuk tiga wartawan yang masing-masing mempunyai kamera sebagai bahan bukti kejadian.
Secara sistematik penahanan itu adalah untuk menghapuskan bukti yang mungkin sekali boleh dijadikan bahan untuk dokumentasi seperti kes-kes yang terjadi sebelum ini antaranya 'bloody sunday' di KLCC yang telahpun membuktikan tindakan ganas polis, katanya.
Dengan aduan itu kata Sivarasa, Bersih menuntut agar Suhakam sedia mengadakan siasatan awam terhadap kejadian tersebut.
Sementara itu bercakap mengenai perkara yang sama, Dr Dzulkifli pula menyatakan apa yang dipaparkan oleh media hanyalah usaha untuk memburuk-burukkan pembangkang dengan niat menjatuhkan imej sebelum Pilihan Raya Umum ke-12.
Sambil menyifatkan laporan berat sebelah itu satu 'kejahatan kewartawanan' beliau melihat ianya hanyalah kempen untuk menutup mata rakyat dari menyokong pembangkang.
Suhakam diminta untuk menasihati media-media arus perdana yang dikatakan menjadi alat Umno-BN untuk memburuk-burukkan pembangkang agar lebih bersikap terbuka dan tidak prejudis. - mks.
No comments:
Post a Comment