Friday, September 14, 2007

4 jam keluarkan peluru dari dada mangsa tembakan

KOTA BHARU, 10 Sept (Hrkh) – Mangsa tembakan dipercayai dilakukan anggota polis di Batu Buruk, Kuala Terengganu malam 8 September lalu, Aswandi Abdul Ghani, 38 kini semakin stabil dan boleh menggerak-gerakkan tangannya.
Beliau juga sudah boleh menghulurkan tangan bersalam dengan keluarga dan rakan-rakan yang datang menziarahinya. Mangsa lulusan kejuruteraan sivil dari UTM, kini berniaga serta mempunyai enam anak.
Namun, beliau masih lagi diletak di bawah pengawasan doktor wad CCU Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.
Beliau juga masih lagi menggunakan alat bantuan pernafasan. Kehadiran ahli keluarga dan teman-teman dari Kuala Terengganu dan Marang menyebabkan beliau tersenyum di atas katil yang sarat dengan peralatan perubatan.
Aswandi dibawa ke HUSM bagi menjalani pembedahan mengeluarkan peluru dalam dadanya. Beliau dibawa dari Kuala Terengganu dengan ambulan yang ditemani seorang anggota polis dan abangnya, Suliadin, 39.
Bapanya, Haji Abdul Ghani Muhamad berkata, anak keduanya itu dibawa masuk ke dalam dewan bedah kira-kira jam 8 malam dan keluar pada jam 12 malam.
Mengikut laporan media hari ini seorang konstabel polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri selepas dikatakan diserang penyokong parti pembangkang setelah polis mengarahkan mereka bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram di Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Empat anggota polis, di mana tiga daripadanya daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilaporkan cedera. Seorang daripadanya kini dirawat di HSNZ.
Bagaimanapun kecederaan parah dua pemuda yang ditembak dipercayai dilakukan anggota polis menggunakan peluru hidup sehingga terbenam dalam badan mereka tidak disiarkan media harian.
Pada kejadian malam 8 September lalu tembakan yang dilepaskan terkena dua pemuda dan menerobos ke dalam badan mereka. Seorang terkena di bahagian leher dan Aswandi pula menembusi bahagian dada di sebelah kanan.
Akibat kecederaan parah, Aswandi terpaksa dikejar ke HUSM, manakala seorang lagi masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Difahamkan hanya HUSM di Pantai Timur yang mempunyai doktor pakar bagi mengeluarkan peluru di dada mangsa.
Abdul Ghani ketika ditemui berkata, sepanjang hidup Aswandi beliau tidak pernah melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, apalagi didakwa memukul anggota polis. - mj

No comments: