Friday, September 14, 2007

Anggota polis tembak guna peluru hidup di Batu Buruk wajar didakwa


Harakahdaily
Thu Sep 13, 07 01:45:23 PM
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Hrkh) - PAS mengalu-alukan kesediaan polis untuk menyiasat anggotanya yang melepaskan peluru hidup sehingga menyebabkan kecederaan serius dalam insiden berdarah di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 Sept lalu.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar berkata anggota berusia 24 tahun yang dikatakan berpangkat korporal itu wajar didakwa atas percubaan membunuh.
Bagaimanapun katanya, PAS tetap berpendirian, mendesak dibentuk satu suruhanjaya khas bagi melakukan penyiasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan.
"Kita tidak boleh terima maklumat dari pihak polis semata-mata kerana banyak kenyataan dari mereka bercanggah sesama sendiri," tegasnya.
Contohnya kata beliau, polis yang menembak dua mangsa dilaporkan anggota berpangkat konstabel dari FRU dan ada yang kata dari PGA.
Namun katanya, berdasarkan kenyataan terbaru, anggota tersebut dikatakan berpangkat korporal.
"Sudah tentu kenyataan ini tidak betul, ketika kejadian berlaku anggota polis itu berpakaian seperti orang awam, kalau FRU atau PGA mesti pakai 'uniform' semasa bertugas.
"Kalau polis berpakaian awam mesti dari Cawangan Khas atau mata gelap," tegasnya.
Media cetak dan elektronik sebelum ini ditempelak kerana menyiarkan hanya laporan mengenai keadaan anggota polis yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu.
Sedangkan salah seorang mangsa yang ditembak anggota polis terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital USM Kubang Kerian, Kota Bharu.
Keluarga dua mangsa yang ditembak polis turut kesal kerana mereka didakwa atas cubaan membunuh polis dan merancang mengambil tindakan mahkamah ke atas anggota polis terbabit. - mr

No comments: