Friday, September 14, 2007

'Polis kejar orang macam perhambat anjing'

Insiden di Pantai Batu Buruk merupakan kejadian kali ketiga membabitkan provokasi polis dalam menyuraikan orang ramai yang hadir secara aman bagi mendengar ceramah yang dianjurkan oleh PAS di Trengganu.
Sebelum itu,berlaku hal yang sama di Batu Rakit, apabila polis menembak gas pemedih mata terhadap orang kampung dan mengejar orang ramai yang ketika itu sedang mendengar ceramah, demikian menurut kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik.
"Polis kejar orang macam perhambat anjing. Masa itu tidak didedahkan dan tidak heboh diperkatakan sebab berlaku di kampung malah orang kampung terima keadaan itu seadanya sebab itu kali pertama," katanya ketika ditemui di Maahad Tahfiz Tarbiyah, Tok Jiring, Kuala Terengganu.
Beliau ditemui sejurus selepas mesyuarat penyelarasan media bersama beberapa pimpinan, wakil media Harakah dan Siasah termasuk Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berhubung kejadian di Batu Buruk 8 September lalu.
Antara yang dibincangkan ialah tentang ketepatan fakta dan kronologi kejadian serta mengenal pasti punca sebenar sehingga tercetusnya insiden yang tidak diingini di samping mahu menyampaikan maklumat dan berita sebenar kepada rakyat di negara ini khususnya di Terengganu.
Ustaz Abu Bakar menjelaskan insiden yang kedua pula berlaku di Batu Enam apabila polis melepaskan tembakan gas ke dalam Masjid mengakibatkan anak-anak kecil dan wanita turut mendapat kesan.
"Saya melihat tindakan ini di luar daripada kebiasaan polis.Sebenarnya orang bukan nak lawan tapi hilang sabar," katanya.
"Orang marah bila polis buat macam itu dan yang berlaku di Batu Buruk ini lebih buruk kejadiannya," katanya.
Tindakan ini dianggap sebagai agenda Menteri Besar, Dato' Idris Jusoh yang mahu memberi tekanan kepada PAS dan seluruh rakyat Terengganu supaya tidak lagi menyokong PAS kerana insiden-insiden seumpama ini.
Malah Idris khuatir dengan melihat semangat dan kebangkitan rakyat dalam usaha melakukan perubahan terhadap pentadbiran BN yang dilihat semakin menindas rakyat, katanya.
Tambahnya lagi kebangkitan rakyat ini juga adalah lanjutan daripada siri penindasan seperti perobohan rumah rakyat di Belimbing Api dan di Pengkalan Merbau,perobohan Masjid Bujal, pemusnahan kebun di Setiu,rampas tanah, tukar pegawai termasuk tukar imam dan bilal di kawasan tertentu oleh kerajaan BN dan Umno selama ini.
"Puncanya ialah BN tidak mahu PAS meninggalkan kesan yang begitu baik di Terengganu, dan saya mengesyaki dalang di belakang insiden itu adalah Umno sendiri," katanya
"Kita gesa polis atau Suruhanjaya DiRaja bebas siasat kejadian ini dengan lebih telus dan terperinci," katanya.
Di kawasan Batu Buruk seringkali diadakan ceramah, dan merupakan aktiviti biasa malah yang dibuat sekitar tahun 1988 dan 1993 - ratusan ribu orang menghadiri Ijtimak PAS namun tiada insiden tidak diingini berlaku, katanya.
Beliau juga mendakwa pernah ada satu kenyataan rasmi dan jawapan di Parlimen bahawa tiada rusuhan yang berlaku sekiranya diadakan atau disebabkan oleh ceramah semata-mata tetapi tercetus jika ada sekatan dan gangguan daripada pihak polis yang secara tidak langsung membuktikan bahawa ceramah yang diadakan selama ini sentiasa berjalan secara aman tanpa sebarang provokasi penyokong mahupun orang awam yang hadir.
Sebagai rekod, lebih aneh 'rusuhan' itu berlaku ketika tidak ada ceramah yang berlangsung di Batu Buruk pada malam tersebut. - mks.

No comments: