Tuesday, January 8, 2008

Menyokong Himpunan Esok (06/01/08)

Ditulis oleh Editor
Saturday, 05 January 2008
Kuala Terengganu, 4 Jan - Prihatin Rakyat Terengganu(Prihatin) mengeluarkan kenyataan dan sebaran mengapa rakyat perlu menyokong Himpunan Aman Menyokong 20 Rakyat Terengganu yang dizalimi.

Rakyat wajib menyokong mereka terutamanya mangsa tembakan polis, Suwandi dan Azman telah dipenjarakan serta 18 orang yang lain, kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan sebagai rakyat yang mempunyai hak-hak dibawah perlembagaan.


Prihatin menuntut supaya mahkamah berlaku adil tanpa campurtangan politik dan membebaskan Suwandi dan Azman kerana mereka belum di buktikan bersalah.

MENYOKONG PERHIMPUNAN AMAN DI PERKARANGAN KOMPLEKS MAHKAMAH

KUALA TERENGGANU

PRIHATIN RAKYAT TERENGGANU dengan ini menyokong Perhimpunan AMAN yang diadakan pada hari ini, 6 Januari 2008 sebagai perpaduan bersama-sama 20 orang rakyat Terengganu yang telah dizalimi, terutamanya kepada saudara Suwandi bin Abdul Ghani (38) dan Muhammad Azman bin Aziz (21);

1. Suwandi dan Azman telah ditembak oleh seorang anggota Polis berpakaian biasa, Wan Aziz Wan Omar (RF 143706) PADA 8 SEPTEMBER 2007 lalu. Tembakan itu menyebabkan mereka cedera parah dan hampir hilang nyawa. Bagaimanapun, Suwandi dan Azman telah dituduh cuba menyerang polis berkenaan. Sedangkan mereka berdua dalam keadaan tangan kosong semasa kejadian.

2. Walaupun Mahkamah masih belum memutuskan Saudara Suwandi dan Azman bersalah, namun Peguam Negara, Abdul Gani Patail bertegas tidak membenarkan mereka berdua diikat jamin. Kesannya, kini mereka berdua dipenjarakan sementara menunggu kes mereka dibicarakan yang tidak diketahui bila akan berakhir.

3. Asas penahanan mereka ialah Seksyen 27 (5) Akta Polis iaitu Perhimpunan Haram. Seksyen ini telah lapuk dan tidak relevan kerana menafikan hak berhimpun secara total dan bertentangan secara prinsipnya dengan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang ini bersifat menghalang perhimpunan aman rakyat. Sedangkan Pihak Polis sepatutnya cuma mengawal perhimpunan. Inilah yang ditegaskan oleh SUHAKAM di dalam Laporan Inkuiri Demonstrasi Anti Kenaikan Harga Barang di KLCC.

4. Memetik kenyataan Peguam Suwandi dan Azman, bahawa pemenjaraan ini adalah suatu pengalaman dan tekanan kepada mereka berdua kerana ditempatkan bersama penjenayah berat, pesakit AIDS dan HIV. Sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah. Ini akan menjadi satu precedent (kes-kes duluan yang diikuti oleh mahkamah) yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman Malaysia. Sekiranya Mahkamah Tinggi tidak membebaskan mereka ketika semakan kehakiman yang akan berlangsung pada hari ini (6 Januari 2008), maka penahanan tanpa bicara (tidak dibenarkan jamin) akan menjadi suatu perkara yang lazim di Malaysia.

5. Paling mengecewakan, Polis yang melepaskan 4 das tembakan berkenaan tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak polis dan peguam negara. Seolah-olah, tembakan dengan peluru hidup oleh polis terhadap dua orang awam berkenaan adalah betul.

6. Pada masa yang sama, 31 orang yang menganggotai perhimpunan HINDRAF telah digugurkan pertuduhan cuba membunuh polis dan dibenarkan ikat jamin walaupun pertuduhan yang dikenakan atas mereka lebih berat daripada tuduhan ke atas Azman dan Suwandi. Kenyataan peguan Negara dalam kes HINDRAF yang menyatakan beliau tidak pasti siapakah yang melemparkan batu kepada polis selepas pertuduhan dikenakan ke atas 31 orang yang terbabit adalah memalukan dan mendedahkan kepada umum bahawa pertuduhan boleh dikenakan dan digugurkan atas motif politik dan bukannya atas asas undang-undang. Kerana pertuduhan tidak boleh dikenakan melainkan pihak pendakwa pasti dan mempunyai bukti siapakah yang melakukannya.

7. Ini adalah suatu kezaliman, kerana menurut Islam bahkan menurut Undang-undang Sivil sekalipun. Iaitu prinsipnya adalah seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah dan pihak yang mendakwalah yang perlu membuktikannya. Inilah juga prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi dipersendakan oleh Kerajaan BN yang mengamalkan undang-undang rimba.

Untuk itu, PRIHATIN RAKYAT TERENGGANU mempertegaskan sokongan kami terhadap Saudara Suwandi, Azman dan 18 orang yang lain yang turut didakwa dalam insiden yang sama. Kami menuntut supaya mahkamah berlaku adil tanpa sebarang campurtangan politik dan menimbang untuk membebaskan Suwandi dan Azman kerana mereka tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Penahanan mereka adalah suatu hukuman sebelum mahkamah menjatuhkan hukumannya dan juga merupakan suatu kezaliman. Tujuan perhimpunan ini juga bagi menuntut keadilan agar pihak berkuasa tidak bertindak sewenang-wenangnya ke atas orang awam.

Perhimpunan aman pada hari ini adalah hak sejagat dan dijamin di bawah:

*Perkara 10 -Perlembagaan Persekutuan Negara - Hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata,

* Perkara 20 - Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 - Hak untuk kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan,

* Perkara 21- Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966.

Prihatin Rakyat Terengganu / 6 Januari 2008

No comments: