Tuesday, January 8, 2008

Suhakam adakan siasatan awam insiden Batu Buruk

Insiden Batu Buruk: Suhakam perlu benar-benar bebas - Presiden PAS
Berita

Awang Harun

Sun | Nov 18, 07 | 10:23:13 am MYT

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Hrkh) - PAS menyambut baik hasrat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang akan mengadakan satu Siasatan Awam berhubung kejadian rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 8 September 2007 lalu.



Suhakam sewajarnya menjadi sebuah badan yang bebas, berwibawa serta menjalankan tugas dengan adil dan telus.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahukan Suhakam benar-benar menjadi satu badan yang berwibawa serta dapat menjalankan tugas dengan adil, telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Suhakam digesa tegas, tidak tunduk pada pengaruh pemerintah

"Saya mengharapkan supaya Suhakam benar-benar menjadi satu badan bebas yang berwibawa dan dapat menjalankan tugas dengan adil dan telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak supaya dihormati bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara. "Kita (PAS) juga mengharapkan supaya Suhakam benar-benar menjadi pembela rakyat yang tulin tanpa tunduk kepada apa-apa tekanan dan pengaruh dari pihak yang memerintah negara ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 di Dewan Dato' Wan Mutalib di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, negara kini menghadapi krisis keadilan yang sangat ketara akibat campur tangan politik dalam semua agensi kerajaan, jabatan dan kementerian.

Oleh itu, katanya Suhakam perlu mempunyai pendirian yang tegas serta tidak tunduk terhadap pelbagai tekanan serta pengaruh pemerintah negara.

Manakala, Bendahari PAS Terengganu,Mohd Abdul Wahid Endut turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Suhakam yang akan mengadakan Siasatan Awam terhadap kes di Batu Buruk itu.

"Saya ucap terima kasihlah kepada pihak Suhakam yang akan membuat Siasatan Awam dengan kes 8 September di Batu Buruk.

"Polis buat siasatan tetapi yang didakwa adalah yang gambar mereka disiarkan dalam akhbar kerana terlibat dengan perhimpunan haram dan bukan kes penggunaan peluru hidup oleh polis," ujarnya.

Menurutnya, anggota polis yang terlibat melepaskan tembakan hingga mencederakan dua orang awam tidak didakwa serta diambil tindakan.

"Tindakan terhadap polis yang menembak tidak diambil. Mereka (polis) kata menyiasat tetapi tidak mendakwa dan tidak mengambil tindakan hingga sekarang.

"Suhakam tidak puas hati, sebab itu sekarang ini dia akan buat satu Siasatan Awam khusus berhubung dengan isu insiden 'menembak orang awam dengan peluru hidup'," jelasnya.

Pada sidang akhbar 14 November 2007 lalu, Suhakam mengumumkan akan mengadakan satu Siasatan Awam berhubung dengan dakwaan penggunaan peluru hidup semasa insiden di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Siasatan Awam tersebut akan dikendalikan oleh tiga Pesuruhjaya Suhakam yang dipengerusikan oleh Dato' Muhammad Shafee Abdullah, Tan Sri Dato' Asiah Abu Samah dan Prof Dato' Dr Khoo Kay Kim.

Suhakam kutuk polis guna peluru hidup

Sebelum ini, hasil siasatan awal Suhakam mendapati berlakunya keganasan polis terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Pesuruhanjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam pada sidang media di pejabat Suhakam pada 9 Oktober lalu.

Kenyataan itu dibuat hasil daripada perbincangan mesyuarat Suruhanjaya Suhakam yang diadakan Isnin 8 Oktober lepas berhubung insiden 'berdarah' selepas polis cuba menyuraikan orang ramai yang menghadiri ceramah yang sudah pun dibatalkan anjuran badan pemantau pilihan raya, Bersih, iaitu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, kata Siva.

"Bukti yang ada menunjukkan polis gagal mengawal orang ramai dalam tempoh masa yang cepat, memandangkan rusuhan itu berterusan dari jam 10 malam hingga 2 pagi.

"Ianya mungkin kerana pihak polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lebih bertindak bertahan dan tidak mengambil tindakan ofensif ketika mengendalikan orang ramai," katanya.

Sewajarnya polis menggunakan budi bicara dan mengelak daripada menggunakan senjata api sewaktu menyuraikan atau berhadapan dengan perhimpunan aman.

"Kita kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis menggunakan 'standard' antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.

"Kita percaya seorang insan itu perlu dihormati dan mempunyai hak untuk hadir dalam perhimpunan aman," katanya menjelaskan tentang prinsip hak asasi manusia yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak


15-11-2007 11:42:49 AM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan inkuiri awam mengenai dakwaan penggunaan peluru hidup dalam kejadian rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 Sept lepas, kata pesuruhjayanya Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Sebuah panel terdiri daripada tiga pesuruhjaya Suhakam termasuk beliau selaku pengerusi dan Tan Sri Asiah Abu Samah serta Prof Datuk Khoo Kay Kim telah ditubuhkan bagi mengendalikan inkuiri itu, katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata keputusan menubuhkan inkuiri awam dibuat pada Mesyuarat Suruhanjaya ke-93 pada Isnin atas kepentingan hak asasi manusia untuk memastikan sama ada peluru hidup digunakan oleh anggota polis dalam kejadian itu.

Ditanya mengapa Suhakam tidak mengadakan inkuiri itu lebih awal, Muhammad Shafee berkata: "Kami bergantung kepada siasatan polis dan kami memberi laluan kepada proses perundangan terlebih dahulu, dan memandangkan tiada siasatan yang menjurus kepada perkara itu, kami mengadakannya."

Muhammad Shafee menjelaskan bahawa inkuiri yang dijalankan oleh Suhakam itu tidak akan menyentuh mengenai perhimpunan haram tetapi hanya menumpukan kepada isu sama ada tembakan menggunakan peluru hidup telah dilepaskan dalam rusuhan itu.

Beliau berkata inkuiri awam itu ialah bagi menyiasat keadaan sebenar dan justifikasi polis melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup kepada orang ramai menyebabkan kecederaan dan sama ada berlaku pelanggaran terhadap hak asasi manusia.

Jika berlaku pelanggaran hak asasi manusia, panel akan menentukan siapa atau agensi mana yang bertanggungjawab dan bagaimana ia berlaku, katanya.

Sehubungan itu, Mohammed Shafee meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau sesiapa yang merasakan mereka mungkin boleh memberikan maklumat dan dokumen berkaitan serta bukti lain mengenai kejadian itu supaya menghubungi Suhakam secepat mungkin.

Mereka boleh menghubungi Nurul Hasanah Ahmad atau Shahizad Sulaiman di pejabat Suhakam di Menara Tun Razak atau menelefon melalui talian 03 26 12 56 69 atau 26 12 56 23 atau hantarkan melalui faksimili ke nombor 03 26 12 56 20 atau 26 12 56 94 atau emel ke alamat humanrights@suhakam.org.my.

Dalam kejadian 8 Sept lepas, lebih 600 orang bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek termasuk besi, kayu, botol kaca dan bom molotov ke arah polis setelah diarah bersurai daripada perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud di Batu Buruk, Kuala Terengganu, menyebabkan tujuh orang, termasuk empat anggota polis cedera.

Seorang anggota polis yang dikatakan diserang sekumpulan kira-kira 20 orang pula terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri, menyebabkan dua orang cedera. BERNAMA

No comments: