Tuesday, January 8, 2008

Suhakam batal siasatan awam kerana Azman dan Suwandi telah didakwa


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh WartawanBuletinonline
Thursday, 13 December 2007

Kuala Terengganu, 13 Dis - SUHAKAM membatalkan siasatan awan terhadap penggunaan peluru hidup didalam peristiwa berdarah Batu Burok yang berlaku pada 8 September 2007

Pengerusi panel siasatan awam itu Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata pembatalan itu perlu dibuat kerana dua mangsa dalam kejadian itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Disember lepas 'atas tuduhan cuba mencederakan anggota polis' .

Muhammad Shafee berkata keterangan yang diberikan di mahkamah nanti akan merangkumi kejadian tembakan atau penggunaan peluru hidup dan fakta itu akan bercantum dalam satu transaksi yang sama.

"Di bawah peruntukan Seksyen 12(2) dan (3) Akta Suhakam 1999-Akta 597 menyatakan suruhanjaya tidak boleh menyiasat apa-apa aduan yang berhubungan dengan apa-apa perlanggaran hak asasi manusia yang merupakan hal prosiding yang belum selesai di mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah," katanya pada sidang media di sini yang turut dihadiri dua lagi anggota panel iaitu Tan Sri Asiah Abu Samah dan Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Siasatan awam itu sepatutnya diadakan selama empat hari bermula hari ini melibatkan lebih daripada 20 saksi termasuk anggota polis dan orang awam.

Bagaimanapun katanya, Suhakam akan menghantar wakil sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan yang ditetapkan pada 30 dan 31 Disember ini bagi memastikan perbicaraan tersebut berlandaskan hak asasi manusia.

Muhammad Shafee berkata beliau amat kecewa dengan pembatalan itu kerana Suhakam telah mengadakan siasatan awal dari 21 hingga 24 November lepas dengan merekodkan keterangan daripada 10 pegawai polis dan tujuh orang awam termasuk kedua-dua tertuduh (Muhammad Azman dan Suwandi) serta mendapatkan semua laporan perubatan yang berkaitan siasatan awam itu.

"Tindakan Suhakam untuk membuat siasatan berdasarkan fakta bahawa selepas hampir tiga bulan daripada kejadian, tiada mana-mana pihak termasuk polis dan Peguam Negara yang mengambil tindakan mahkamah terhadap insiden itu.

"Pada 14 November lepas, Suhakam telah membuat satu sidang akhbar mengumumkan keputusan yang dibuat suruhanjaya bahawa satu panel akan membuat siasatan berhubung insiden ini.

"Malangnya dari tarikh tersebut hingga 9 Dis lalu, pihak pendakwaan tidak langsung memberi gambaran yang insiden itu akan menjadi satu tindakan mahkamah," katanya.

Muhammad Shafee berharap tindakan itu (pendakwaan ke atas dua tertuduh) bukanlah cubaan mana-mana pihak untuk menggagalkan siasatan awam itu.

Terdahulu, anggota panel Suhakam mendengar keterangan daripada pegawai penyiasat ASP Zainuddin Yatimin berkenaan kes itu selama kira-kira 20 minit sebelum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan siasatan awam itu mengikut peruntukan sedia ada.

Dalam prosiding yang dijalankan secara terbuka itu, Zainuddin, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berkata ketika kejadian, pihak polis telah melepaskan empat das tembakan dengan peluru hidup dan dua daripadanya mengenai Muhammad Azman dan Suwandi.

Katanya berdasarkan perbincangannya dengan pihak polis di Bukit Aman dan Peguam Negara, didapati tindakan Wan Abdul Aziz melepaskan tembakan itu mempunyai unsur mempertahankan diri.

Kepada pertanyaan Muhammad Shafee sama ada ketika perbicaraan di mahkamah kelak isu tembakan itu akan dibangkitkan atau tidak, Zainuddin berkata: "Kita tidak boleh tutup (kenyataan mengenai tembakan), ia akan dinyata bersama."

Zainuddin turut memberitahu dalam siasatannya beliau telah memanggil 27 orang untuk memberi keterangan yang terdiri daripada pegawai polis, doktor yang mengeluarkan peluru, pakar forensik dan orang awam.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd Wahid Endut pula berkata beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan selepas ditembak.

Malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing, katanya.

No comments: