Wednesday, September 19, 2007

Batu Burok: Pemimpin BN makin terdesak

Awang Harun Wed Sep 19, 07 3:38:53 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 19 Sept (Hrkh) – Pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri semakin terdesak apabila terpaksa mengadakan siri penjelasan mengenai insiden Batu Burok yang berlaku pada 8 September lalu.
Beberapa siri penjelasan telah dilakukan oleh kerajaan negeri yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman selepas kejadian itu di mana taklimat mengenai kejadian itu disampaikan oleh pihak polis.
Pada kira-kira jam 2.00 petang ini, penjelasan itu melibatkan pengetua, guru besar, guru penolong kanan 1, guru penolong kanan (hal ehwal murid) dan guru penolong kanan (kokurikulum) daripada beberapa sekolah menengah dan rendah yang terpilih.
Mereka adalah daripada tujuh buah sekolah menengah yang dipilih dari setiap daerah kecuali 14 di Kuala Terengganu manakala enam sekolah rendah setiap daerah melainkan 12 buah di Kuala Terengganu.
Pejabat Pelajaran negeri di dalam suratnya P.T. 09013-01/12(30) yang ditandatangani pengarahnya, Arifin Embong mengarahkan mereka hadir pada majlis penjelasan yang diadakan itu. Sebelum ini, penjelasan yang diadakan secara berasingan itu melibatkan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta golongan belia. - mks.

No comments: