Saturday, January 28, 2012

Kenapa Melayu tak lagi takutkan DAP

Isu penyertaan beberapa orang Melayu ke dalam DAP baru-baru ini sedang hangat dibicarakan, terutama sekali di kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang seolah-olah teruja dengan perkara yang sebenarnya tidaklah luar biasa sangat.

Yang terbaru, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menyindir bahawa DAP tidak pernah membela kepentingan orang Melayu, manakala ketua Puteri Umno pula menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang menganaktirikan masyarakat Melayu di sana.

Tuduhan pemimpin-pemimpin Umno ini jelas palsu kerana sejarah jelas membuktikan bahawa DAP adalah parti yang membela sesiapa sahaja yang ditindas, tanpa mengira warna kulit atau agama.

Lebih sedekad lalu setiausaha agung DAP yang kini merangkap ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk membela seorang anak gadis Melayu yang tercabul, sehingga beliau sendiri terpaksa meringkuk dalam penjara akibat dimangsakan oleh undang-undang yang berat sebelah.

Mungkin pemimpin-pemimpin Umno, terutamanya yang bertaraf Puteri atau Putera, malah Pemuda, tidak tahu atau tidak mengingati akan insiden ini. Atau pun pemimpin-pemimpin Umno sengaja tidak mahu ingat kerana yang terlibat itu adalah seorang pemimpin daripada kalangan parti mereka.

Di Pulau Pinang pula, kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng giat melaksanakan program-program kebajikan sosial yang disasarkan kepada pelbagai golongan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, keluarga-keluarga muda serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti adalah contoh-contoh dasar yang membantu golongan masyarakat yang paling memerlukannya.

Dasar yang dilaksanakan ini jelas tidak bersifat perkauman. Namun, rata-rata golongan yang paling banyak menerima bantuan adalah masyarakat Melayu yang selama ini dipinggirkan dan disia-siakan oleh Kerajaan Umno yang kononnya memperjuangkan kepentingan mereka.

Bagi hal-ehwal agama Islam pula, kerajaan Umno-BN hanya memperuntukkan RM12 juta setahun. Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, jumlah ini telah dinaikkan setiap tahun sehingga peruntukan untuk tahun 2012 sudah pun mencecah RM64 juta, iaitu lima kali ganda lebih.

Peruntukan besar ini merangkumi usaha-usaha untuk, antara lainnya, pembesaran tapak perkuburan Islam, pembangunan sekolah agama rakyat, elaun-elaun untuk pegawai masjid, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), para huffaz serta progam-program sambutan kebesaran Islam (yang mengikut fitnah Umno tidak disambut sama sekali di Pulau Pinang). Tidakkah ini membantu masyarakat Islam yang rata-ratanya orang Melayu?

Tambahan pula, sistem tender terbuka yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri telah menampakkan kejayaan kontraktor-kontraktor Melayu yang selama empat tahun sejak perlangsungannya telah memenangi lebih 70 peratus daripada semua tender kerajaan Negeri. Lebih penting sekali, mereka telah berjaya secara sah dan tanpa bantuan atau pengaruh politik.

Dalam erti kata lain, bukan sahaja usahawan-usahawan Melayu telah berjaya dalam suasana persaingan, mereka juga dimartabatkan kerana berjaya atas daya usaha mereka sendiri.

Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno merasa bahawa warga Melayu di Pulau Pinang berada dalam keadaan tertindas dan tidak maju, bukankah itu salah kerajaan BN yang telah memerintah selama lebih 50 tahun di Pulau Pinang?

Umno sudah tidak layak untuk membela nasib orang Melayu. Ini kerana mereka hanya tahu satu jalan penyelesaian, iaitu dalam bentuk skim cepat kaya yakni Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan syarikat-syarikat penjana tenaga elektrik bebas (IPP), konsesi-konsesi berat sebelah dengan syarikat-syarikat pengendali tol lebuh raya, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga seorang menteri dan juga penyenaraian Felda Global Ventures yang bakal menguntungkan segelintir kroni elit.

Kerajaan tidak pernah menganaktirikan sesiapa pun. Yang melemahkan orang Melayu adalah pucuk pimpinan Umno yang mahu mengekalkan kuasa melalui kebergantungan orang Melayu kepada Umno. Dalam erti kata lain, kuasa Umno adalah kemudaratan orang Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah kenapa orang Melayu yang makin celik dan sedar akan kemungkaran Umno dan sekutu-sekutunya tidak akan takut lagi untuk memilih DAP yang mengutamakan rakyat Malaysia dan menawarkan siasah baru yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.

Penulis ialah Zairil Khir Johari, bertugas sebagai setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Saturday, December 25, 2010

Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘PAS Ganti Umno’ Pada 15 Januari depan

http://buletinonline.net/images/stories/berita37/DSC_0186.JPGKUALA TERENGGANU ; PAS Negeri Terengganu akan menganjurkan siri Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) ke seluruh negeri Terengganu, bermula pada 15 Januari depan di Chukai, Kemaman.

Setiausaha Badan Perhubungan Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata Jawatankuasa Bertindak Penggerak Masyarakat ‘PAS Ganti Umno’ telah digerakkan bagi menyebarkan maklumat dan penerangan mengapa perlu PAS menggantikan Umno menjelang pilihanraya akan datang.

”Kita (PAS) telah mula mengedar dan membekalkan dan menaikkan kain-kain rentang dan poster-poster ‘PAS Ganti Umno’,

”kita juga telah bertemu dan menggerakkan semua bloggers dan pengendali laman-laman internet kita, supaya mereka dapat memainkan peranan, mencetuskan tulisan-tulisan dan artikel-artikel ‘PAS ganti Umno’,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluannya dalam Seminar ‘PAS Ganti Umno’ yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kuala Ibai, disini semalam, 24 Disember. (Gambar - lebih 1,200 orang dari kalangan petugas PAS di peringkat DUN hadir)

Katanya, Seminar PGU yang diadakan itu adalah merupakan langkah mukaddimah kepada ‘himpunan mega’ yang telah dirancang.

”Langkah-langkah ini kita harap akan menjadi suatu mukaddimah, yang InsyaAllah kita akan mengadakan satu perhimpunan untuk mengumpulkan bukan sahaja ahli-ahli, penyokong-penyokong tetapi semua lapisan masyarakat,”jelasnya

Beliau turut memaklumkan, pengesahan kehadiran pimpinan besar Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang Palimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam himpunan tersebut.

Thursday, December 23, 2010

6 Rumah Siap Pahat Berbunyi

http://buletinonline.net/images/stories/berita36/genderis.gif- Geng 10 Budak Hitam Jadi Geng 4 Budak Hitam Bisu?
KUALA TERENGGANU
; Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi, begitulah perumpamaan yang paling sesuai, buat Umno Terengganu, seusai Mesyuarat ke 3 Penggal ke 3 Dewan Undangan Negeri ke 12 (Sidang DUN Terengganu) yang akan diadakan pada 13 hingga16 Disember baru-baru ini.

Beberapa blog pro-Umno mengungkit cerita tentang '10 budak hitam' apabila dilaporkan terdapat empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Terengganu yang enggan bersuara.

Namun begitu mereka menyimpulkan, dari 10 budak hitam yang dianggap popular dalam mensabotaj Kerajaan Ahmad Said kini sudah semakin berkurangan, menjadi hanya 4 orang budak hitam.

Diantaranya yang marah-marah dan mencatat 'posting' seperti dibawah;

Masih ingatkah dengan 10 Budak Hitam yang berusaha sedaya upaya mahu melingkupkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dahulu? Kalau sudah lupa, diturunkan semula senarai 10 ‘dajal’ tersebut.

1. Idris Jusoh (Jerteh)
2. Rosol Wahid (Ajil)
3. Din Adam (Bukit Besi)
4. Muhammad Ramli Nuh (Tepuh)
5. Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang)
6. Abdul Halim Jusoh (Permaisuri)
7. Alias Abdullah (Alor Limbat)
8. Zakaria Abdullah (Paka)
9. Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera)
10. Ramlan Ali (Jabi)

Dari 10, tinggal empat yang masih berpenyakit. Penyakit enggan bercakap dalam persidangan DUN.

Tapi, dari laporan yang boleh dipercayai, ketika dipanggil untuk mesyuarat pre-council, lebih dari empat orang yang tidak mahu menghadirkan diri, termasuklah Zakaria Abdullah (Paka)
.
Khabarnya, penyakit yang melanda budak-budak ini tidak mampu diubati lagi. Yang enam lagi, yang sudah mampu bercakap itu, khabarnya sembuh dengan sendirinya, selepas mereka terlangkah busut jantan.
Tapi, ada empat ADUN yang masih membisu itu (bukan bisu tetapi membisu), belum dapat disembuhkan walaupun melalui perubatan moden.

Din Adam dikatakan hanya pandai bercakap, kalau ada ‘pembesar dari Kuala Lumpur’ mahu mendengar percakapannya.
Itulah sebabnya, dia dilantik menjadi jurucakap biadap bagi tujuan memalukan Menteri Besar, datuk Seri Ahmad Said ketika semua ADUN-ADUN Terengganu mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kalau Hishammuddin datang ke Terengganu, Din akan berada di lapangan terbang untuk menyambut. Apatah lagi sekarang, setelah dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Hishammuddin, makin keraplah dia menyambut pembesar dari Kuala Lumpur yang datang ke Terengganu.

Sifat pandai bercakapnya itu, tidak dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, kecuali dengan tujuan mahu memalukan Menteri Besar dengan dakwaan-dakwaan yang tidak benar.

Orang Terengganu menganggap, Din Adam ini sebagai penjaring bola ke gawang sendiri.

Rosol dan Pehimi pula, tidak mahu bercakap kerana takut kena marah. Siapa yang dia takut, tidaklah diketahui tetapi ramai yang percaya dia takutkan Idris Jusoh tidak melantiknya menjadi Exco sekiranya Idris menjadi Menteri Besar Terengganu semula.

Mungkin, dalam kotak fikiran Rosol, Terengganu masih belum ada Menteri Besar. Maklumlah, Rosol ini duduk di Hulu Terengganu. Barangkali, banyak maklumat di Kuala Terengganu yang dia tidak tahu.

Tapi dia ni seorang blogger. Biasanya, blogger sering dimesrai maklumat.

Jadi, bagi orang Terengganu, kalau ada budak-budak ini pergi mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR, mereka hanya boleh mendoakan agar Negeri Terengganu diselamatkan dari segala bentuk bencana politik.

Sebab apa? Sebab tiada siapa yang berani mengambil tindakan terhadap budak-budak ini. Mungkin PM dan TPM pun tidak boleh buat apa-apa terhadap mereka, kerana mereka ada pengikut kepada pemimpin yang mendakwa membawa tamadun kepada Negeri Terengganu.

Macam-macam mereka sudah lakukan. Mereka sudah memboikot persidangan dewan, mereka sudah mencerca Menteri Besar, mereka sudah menjaringkan bola ke gol sendiri, mereka sudah berucap seperti mewakili pembangkang, mereka sudah menjalankan pelbagai fitnah termasuk SMS palsu dan mereka sudah membisu, tetapi tiada siapa berani mengambil tindakan dan menegur mereka.

Oh! Begitu berkuasa mereka ini rupanya. Hebat sungguh mereka di kaca mata Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Nak diharapkan tindakan dan teguran dari Hishammuddin, mustahil kerana pendatang asing yang membanjiri negara pun Hishammuddin masih tidak mampu bertindak apa-apa, inikah mula 10 Budak Hitam.

Selepas ini, apa lagi tindakan Idris Jusoh, Din Adam, Rosol Wahid dan Pehimi Yusof terhadap Umno Terengganu, terhadap DUN Terengganu dan terhadap Menter Besar Terengganu, tidak dapat diduga kerana mereka sentiasa merancang, satu demi satu strategi selagi Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar.

Mereka tidak berasa bersalah. Mereka tidak takut tindakan. Mereka tidak kisah apa akan jadi kepada Umno dan BN – kerana mereka pentingkan politik peribadi mereka sendiri hingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan hati mereka puas.

Buatlah berapa kali konvensyen pun, buatlah berapa kali pemukiman pun, buatlah berapa kali perundingan pun, buatlah berapa kali pertemuan pun, selagi hati mereka hitam dan diselaputi perasaan hasad dan dengki, mereka akan terus melakukannya kerana inilah perjuangan peribadi mereka.

Tuesday, January 8, 2008

Rayuan Ikat Jamin Suwandi, Azman ditunda kepada 14 Jan, 08 – Tujuh dilepaskan dengan jaminan polis

Ditulis oleh WanKay & AYu
Tuesday, 08 January 2008
Kuala Terengganu, 6 Januari - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menunda permohonan mangsa tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah Batu Burok 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz untuk mendapatkan jaminan kepada 14 Januari ini.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian setelah pihak pendakwa yang diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak pembela, peguam Mohamed Hanipa Maidin serta Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong mengemukakan hujah masing-masing.

Permohonan untuk mendapatkan jaminan itu dibuat setelah Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan Suwandi dan Azman ikat jamin.


Hassan juga mengekalkan keputusan itu pada perbicaraan 30 Disember lalu.

Abdul Gani semasa berhujah mengemukakan bantahan awal terhadap afidavit pemohon yang terdapat beberapa kesilapan yang baginya adalah afidavit cacat dan sangat lemah.

Antara perkara yang dibantah dalam afidavit tersebut berkait dengan tandatangan peguam, ikrar, masa, hubungan kekeluargaan dan penghujahan atau pendapat.

Mohamed Hanipa pula berhujah apa yang dihujahkan oleh Abdul Gani itu tiada apa-apa notis bertulis.

Beliau turut mempersoalkan apa yang dikatakan oleh Abdul Gani terhadap afidavit pemohon sebagai afidavit defektif tetapi dalam masa yang sama menjawab afidavit berkenaan.


Beliau juga berhujah beberapa kesilapan yang berlaku dalam afidavit pihak pendakwa.

Selain beliau dan Wan Abdul Muttalib, turut mewakili Suwandi dan Azman ialah Wan Zainuddin Wan Musa, Haji Othman Mohd Noor, Kamaruzaman Abdul Wahab, Aminuddin Zulkifli, Khairuddin Osman dan Fariz Irwan Mustafa.

Wan Muttalib pula mengakui tentang kesilapan kemanusiaan itu yang menggunakan komputer tetapi tiada ada sebab dari segi undang-undang untuk memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk mendapatkan keadilan.


Baginya, kesilapan boleh dibuat pembetulan dan memohon untuk memasukkan afidavit pembetulan kerana pihak Peguam Negara tiada apa-apa halangan untuk membuat pembetulan supaya apabila dibawa ke atas berada di atas landasan yang betul.


Abdul Gani tidak membantah terhadap permohonan itu kerana baginya kedua-dua pihak harus menegakkan dari segi keadilan dan diperbetulkan mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada pihak yang memenangi kes di mahkamah di atas kesilapan yang tertentu.

Turut mewakil pihak pendakwaan ialah Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Sementara itu, tujuh orang pemuda yang ditahan pada sebelah pagi diperkarangan mahkamah Kuala Terengganu telah dibebaskan pada lewat petang semalam. Salah seorang dari mereka, Ustaz Tarmizi Jaafar, ketika dihubungi oleh Buletinonline malam ini memberitahu bahawa, kesemua meraka dilepaskan dengan jaminan polis.

“ AlhamduliLlah kami semua dilepaskan pada waktu hampir maghrib, setelah diambil keterangan oleh Inspektor Amirudin” jelas Ustaz Tarmizi.

“Namun begitu, kami diberikan satu surat untuk kembali melapor kepada Balai polis pada 20 Januari, 2008”

Mereka tidak dikenakan apa-apa pertuduhan, namun begitu kebimbangan berulangnya peristiwa seperti Insiden Batu Buruk 8 September lalu, dimana pertuduhan dibuat kemudian, setelah mereka melaporkan diri di balai polis.

Solat Hajat Kali Kedua di depan Mahkamah

Ditulis oleh SM Noor
Sunday, 06 January 2008
Kuala Terengganu, 6 Jan – 10.20 pagi – Para penyokong Azman dan Suwandi yang berhimpun secara aman pada pagi ini telah menunaikan solat hajat kali kedua sejak minggu lalu.Tepat jam 10.00 pagi, setelah mendengar capan dari pemimpin pusat dan negeri, Ustaz Adam Said, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut telah mengimamkan solat hajat. Munajat kepada Allah SWT adalah jalan yang terakhir bagi para penyokong Azman dan Suwandi untuk mengadu tentang kezaliman, serta memohon supaya keadilan keadilan ditegakkan.

Hari ini adalah cubaan para peguam untuk membebaskan Azman dan Suwandi dari terus ditahan di penjara. Rayuan ikat jamin Azman dan Suwandi difailkan kemahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Orang ramai semakin membajiri hadapan mahkamah Kuala Terengganu selepas solat hajat dan hujan berhenti. Bantahan diteruskan lagi, sehingga keputusan ditetapkan oleh mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang dijangka tidak lewat dari jam 1.00 Tengahari.

Kepada semua penyokong dan pendokong keadilan, dimana jua berada, marilah kita semua bermunajat kepada Allah SWT. Sekiranya keadilan tidak tertegak lagi, biarlah Allah SWT menentukan arah cara perjuangan ini.
Sementara itu, 7 orang pemuda yang ditahan ketika mengedarkan rislah pada pagi tadi adalah seperti berikut:
1. Ustaz Tarmizi Jaafar
2. Aisamuddin Muhamed
3. Muhammad Ibnu Kasir Mohd Noor
4. Muhammad Zaki Said
5.Muhammad Hilmi Jusoh
6. Hamzah Mohammad

Mereka dipercayai berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.